Ugut bakar, simbah cat, tiga along termasuk wanita ditahan

Ugut bakar, simbah cat, tiga along termasuk wanita ditahan

Kesemua suspek mengugut membakar dan menyimbah rumah seorang wanita dengan cat kerana pinjaman RM11,000.

Tiga suspek disyaki mengugut membakar dan menyimbah rumah seorang wanita dengan cat.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along menerusi serbuan di Shah Alam, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua suspek yang berperanan sebagai pengutip hutang itu disyaki mengugut membakar dan menyimbah rumah seorang wanita dengan cat kerana didakwa enggan membayar wang pinjaman bernilai RM11,000 pada 15 Jan lepas.

Beliau berkata semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan kesemua suspek ditahan reman empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik licik along yang mempromosikan tawaran pinjaman wang melalui pelbagai cara seperti menawarkan kadar pinjaman 20 hingga 30 % sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata golongan berpendapatan sederhana dan rendah selain peniaga kecil sering menjadi mangsa along kerana syarat pinjaman wang yang mudah namun, tanpa disedari tindakan menerima tawaran pinjaman itu akan mengundang padah kepada mangsa.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang lelaki berumur 30-an ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Persiaran Jati, Seksyen 7, Kota Damansara, malam tadi.

Nik Ezanee berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, suspek penunggang motosikal jenis Honda Wave merempuh SJR berkenaan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan di jalan Persiaran Surian sejurus selepas kejadian.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki berumur 27 tahun ditahan kerana terbabit dengan jenayah samun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ria, Taman Medan, semalam.

Nik Ezanee berkata pihaknya merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti samun dan sebuah motosikal dalam operasi kira-kira 8.45 malam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan turut mengaku terbabit dalam dua kes jenayah samun di sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.