
Peguam Wilson Joy Appukuttan, yang mewakili Hamid Sultan Abu Backer, berkata sepucuk surat akan dihantar kepada Rohana untuk mendengar perkara itu pagi nanti.
“Kami beralih kepadanya memandangkan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan hanya menetapkan untuk mendengar permohonan itu Jumaat ini,” katanya kepada FMT.
Jawatankuasa itu meminta Hamid, hakim kanan Mahkamah Rayuan, untuk hadir di depan mereka pada 3 petang Khamis untuk inkuiri berkaitan afidavit dan penghakiman dibuatnya pada Jun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan Hamid untuk menangguhkan prosiding itu atas alasan tiada keadaan khas untuk menghalang prosiding berkenaan.
Wilson berkata, beliau sudah memfailkan usul baru (untuk penangguhan) dengan satu sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan petang Selasa dan salinan kertas kausa diserahkan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) awal pagi Rabu.
Beliau berkata, pengurusan kes diadakan (petang Rabu), tetapi Timbalan Pendaftar, Radzilawatee Abdul Rahman hanya dapat menetapkan Jumaat ini untuk pendengaran kerana AGC memerlukan masa meneliti afidavit Hamid.
Tambahan, katanya, beliau dimaklumkan hakim juga perlu diberikan peluang untuk membaca dan meneliti kertas kausa itu.
FMT cuba menghubungi Peguam Kanan Persekutuan, M Kogilambigai yang mewakili AGC untuk mendapatkan maklum balasnya.
Pada 21 Jan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mariana Yahya menolak permohonan Hamid untuk mendapat kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap afidavit serta penghakiman berkenaan.
Beliau turut membenarkan permohonan jawatankuasa etika itu membatalkan saman pemula Hamid, yang berkait rapat dengan remedi dituntut dalam permohonan semakan kehakimannya.
Berhubung semakan kehakiman itu, Hamid memohon deklarasi yang prosiding secara tertutup jawatankuasa itu bertentangan prinsip keadilan asasi, tidak rasional dan tidak berperlembagaan.
Mengenai saman pemula itu, Hamid memohon arahan berkaitan afidavit dan penghakiman yang diputuskannya dalam sebuah kes rayuan jenayah.
Hamid, yang dijadualkan bersara tahun ini, sudah memfailkan rayuan terhadap dua perkara itu.
Tiga tahun lalu, Hamid mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi.
Peguam Sangeet Kaur Deo kemudian memfailkan saman pemula terhadap ketua hakim negara pada awal 2019 atas dakwaan beliau gagal mempertahankan dan melindungi integriti badan kehakiman.
Hamid mengesahkan afidavit untuk menyokong saman Sangeet yang kemudiannya digugurkan.
Hamid, antara lainnya, dalam penghakiman itu berkata, badan kehakiman diharapkan bertindak sebagai semak dan imbang terhadap eksekutif serta perundangan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
Ogos lalu, jawatankuasa itu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Hamid.