Agong nak lantik Wan Azizah jadi PM interim? Itu ‘cerita karut’ Tommy Thomas, kata Dr M

Agong nak lantik Wan Azizah jadi PM interim? Itu ‘cerita karut’ Tommy Thomas, kata Dr M

Kerajaan Pakatan Harapan sudah tumbang dan Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tiada sokongan majoriti, kata Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan Agong mahukan pemimpin PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai perdana menteri interim “cerita karut” bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Mengulas dakwaan berkaitan dalam memoir kontroversi Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness”, Mahathir berkata Thomas sebenarnya tidak tahu “apa-apa langsung” berkenaan peletakan jawatannya.

“Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai perdana menteri interim. Ini cerita karut,” katanya di blog.

“Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai perdana menteri interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai perdana menteri sementara.”

Thomas dalam memoirnya menulis peruntukan Perlembagaan membolehkan Wan Azizah, selaku timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Mahathir, dilantik sebagai pemangku perdana menteri selepas Mahathir meletak jawatan pada Februari lalu.

Beliau juga mendakwa, Agong mahu melantik Wan Azizah sebagai pemangku, “namun Mahathir mencalonkan diri” untuk jawatan sementara itu walaupun sudah berundur, sesuatu yang disifatkannya sebagai “pelik”.

Mahathir secara sinis menyifatkan karangan Thomas berkenaan peletakan jawatannya sebagai “cukup hebat”.

Mahathir menjelaskan Agong sebenarnya tidak boleh melantik Wan Azizah untuk memangku jawatan perdana menteri.

“Sama seperti saya, dia juga tidak punyai (sokongan) majoriti (di Dewan Rakyat) apabila Pakatan Harapan ditumbangkan oleh PPBM yang keluar bersama kumpulan Azmin Ali dari PKR,” katanya.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran perdana menteri. Kerajaan PH telah tumbang.

“PH telah hilang majoriti dan Agong tidak boleh terus lantik Wan Azizah sebagai perdana menteri. Agong juga tidak meminta Wan Azizah menjadi perdana menteri interim.”

Situasi semasa peletakan jawatannya pada Februari tahun lalu itu berbeza dengan keadaan semasa peletakan jawatan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 1969, yang membawa kepada pelantikan Abdul Razak Hussein.

“Perikatan punyai majoriti…Dia masih punyai majoriti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.