Suami maut disimbah asid, isteri, 6 lelaki direman

Suami maut disimbah asid, isteri, 6 lelaki direman

Polis berkata semua tujuh suspek berusia 15 hingga 41 tahun direman hingga Selasa depan.

Polis menahan tujuh suspek termasuk isteri mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
SEREMBAN:
Isteri kepada seorang lelaki yang maut akibat disimbah asid di Taman Pulai Impian, Sikamat direman bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Seremban Mohd Said Ibrahim berkata, selain wanita berkenaan turut direman ialah enam lelaki.

Semua mereka dipercayai terlibat dalam kejadian seorang lelaki maut selepas disimbah asid pada awal pagi Sabtu lalu.

“Semua tujuh suspek berusia 15 hingga 41 tahun itu yang ditahan menerusi beberapa siri tangkapan, direman hingga Selasa depan,” katanya.

Mohd Said berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada 23 Jan lepas.

Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 43 tahun itu mengalami 30% kecederaan akibat melecur disimbah asid.

Mangsa dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban tetapi meninggal dunia pada 11 malam, semalam.

Mohd Said berkata, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.