Doktor sukarelawan Malaysia di Boston tidak asing dengan wabak

Doktor sukarelawan Malaysia di Boston tidak asing dengan wabak

Berasal dari Pulau Pinang, Dr Lai Kwan Kew yang bekerja di Boston banyak mengembara memerangi wabak.

Dr Lai Kwan Kew berbual dengan kanak-kanak Rohingya di kem pelarian Cox’s Bazar.
PETALING JAYA:
Beberapa tahun sebelum Covid-19 menyerang, Dr Lai Kwan Kew sudah terbiasa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan bertugas di barisan hadapan.

Sebagai pakar penyakit berjangkit, wanita berusia 70 tahun yang berasal dari Pulau Pinang ini tidak asing lagi dengan krisis perubatan dan menjadi berita utama semasa menjalankan tugasnya.

Dia pernah menjadi sukarelawan di Afrika Barat ketika wabak Ebola menular, di Libya semasa wabak taun, Vietnam, Uganda, Tanzania dan Nigeria semasa wabak HIV-AIDS dan banyak tempat lain.

Tetapi, walaupun dengan pengalamannya yang luas, Lai bingung dengan skala pandemik Covid-19.

“Pastinya, (Covid-19) sangat berbeza dengan penyakit berjangkit lain,” katanya kepada FMT.

“Sebilangan besar (kes) yang saya tangani bersifat tempatan dan tidak tersebar ke bahagian dunia yang lain, tetapi Covid-19 telah melintasi banyak sempadan dan negara, termasuk benua Antartika.”

Dr Lai Kwan Kew memakai PPE di Hospital Elmhurst di New York.

Baru-baru ini, pada April, Lai menjadi sukarelawan di Hospital Elmhurst di New York, pusat wabak Covid-19 di Amerika Syarikat. Doktor fakulti perubatan Harvard itu juga ditempatkan di Pulau St Croix untuk membantu menubuhkan pusat-pusat Covid-19.

“Gabenor meminta doktor dari negeri lain untuk pergi membantu kerana doktor di New York telah penat dan memerlukan rehat. Mereka mesti berada di sana hampir sepenuh masa dan seluruh hospital dipenuhi dengan hanya pesakit Covid-19,” katanya.

Selepas keadaan reda, dia pulang ke Boston untuk mengusahakan buku terbarunya mengenai pengalaman sebagai sukarelawan, “Africa, Out of Academia: A Doctor’s Memoir”.

Lai menetap di AS sejak meninggalkan Malaysia pada 1970-an untuk belajar perubatan dengan biasiswa dari Wellesley College.

Dia pada awalnya memohon biasiswa di universiti di Malaysia selepas tamat tingkatan enam, tetapi tidak mendapat jawapan mengenai status permohonannya.

“Rakan kakak saya baru pulang dari Amerika dan dia memberitahu kakak saya bahawa saya harus memohon (untuk belajar di) AS,” katanya.

“Setelah mendalaminya, itulah yang saya lakukan.”

“Saya terus tinggal di sini kerana saya tidak mempunyai ijazah dari Britain. Pada masa itu, saya perlu mengambil peperiksaan lain untuk memenuhi syarat untuk bertugas di Malaysia,” tambahnya.

Dr Lai Kwan Kew merawat pesakit di Sudan Selatan.

Namun, bukan semuanya indah untuk Lai kerana dia harus berperang dengan diskriminasi perkauman dan jantina dalam kariernya.

“Sebagai (golongan) minoriti dan wanita, seseorang perlu benar-benar kuat pendirian, tetapi bukan mudah,” katanya.

“Tiada yang akan datang bergolek. Sebilangan besar imigran bekerja keras untuk sampai ke tempat mereka berada.”

Suami dan tiga anaknya adalah warganegara Amerika, namun Lai masih dengan bangga mengakui dirinya rakyat Malaysia.

Walaupun dia mengakui dia tidak begitu mengikuti perkembangan terbaru mengenai wabak Covid-19 di negara ini, dia berpesan kepada rakyat Malaysia, berkenaan vaksin: “Rakyat perlu bersukacita, bukannya takut.”

Dia mengambil dos pertama vaksin Pfizer awal bulan ini dan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa suntikan itu selamat dengan keberkesanan hingga 95% dan kesan sampingan minimum berbanding dengan vaksin selesema bermusim, yang hanya 75% berkesan.

“(Vaksin itu) dikembangkan dengan begitu cepat kerana (Covid-19) adalah wabak global,” katanya.

“Jadi ramai yang terdedah kepada virus tersebut, dan percubaan besar-besaran boleh dijalankan dengan mudah.

“Dalam era Ebola, para saintis juga membangunkan vaksin tetap ketika mereka sedang mengujinya, wabak itu menjadi kurang menular. Jadi sukar bagi mereka untuk mendapatkan jumlah pesakit yang cukup untuk menjalankan percubaan.”

Dengan sempadan antarabangsa masih ditutup, Lai tidak tahu bila dia akan dapat mengunjungi keluarganya di Malaysia lagi, tetapi dia sudah berhasrat untuk menjadi sukarelawan membantu pelarian Syria di Greece.

“Usia saya semakin meningkat, tetapi saya tidak merasa kurang bertenaga,” katanya.

“Saya suka bekerja dalam bidang yang saya minati dan saya tahu ramai pekerja kesihatan di hospital berusia lebih daripada 60 tahun.

“Pastinya, saya ingin terus menjadi sukarelawan,” kata Lai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.