Perantau ibu kota terpaksa pilih ‘bilik sempit bertaraf stor’ kerana sewa rumah mahal

Perantau ibu kota terpaksa pilih ‘bilik sempit bertaraf stor’ kerana sewa rumah mahal

Rata-rata perantau bujang yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berkata mereka tidak mampu menyewa rumah kerana kosnya yang tinggi termasuk caj minimum pendahuluan sehingga tiga atau empat bulan.

Ramai perantau bujang memilih berhimpit berkongsi bilik sewa untuk menjimatkan kos.
PETALING JAYA:
Umum mengetahui harga sewa rumah mahal antara punca yang menyebabkan perantau bujang bekerja di Kuala Lumpur dan persekitaran Lembah Klang menjadikan bilik bersaiz sempit, seakan-akan stor sebagai tempat kediaman kerana mahukan harga yang murah.

Pilihan sukar itu terpaksa dibuat disebabkan kos kehidupan di kawasan bandar seperti semua maklum adalah lebih tinggi, jika dibandingkan dengan kehidupan di kawasan kampung .

Mohamad Azizul Rahman, 28 berkata, keputusannya menjadikan bilik sewa sebagai tempat tinggal, berbanding terus menyewa sebuah rumah adalah disebabkan kedudukan kewangan yang masih tidak mampu, memandangkan caj pendahuluan untuk menyewa rumah adalah terlalu mahal.

“Kalau sewa rumah kosnya mahal dan terlalu “gila”, sebagai contoh kalau rumah di Kuala Lumpur paling rendah tidak kurang RM1,200 tambah deposit pula kena bayar tiga atau empat bulan jadi sebelum masuk kena sediakan dalam RM4,000 hingga RM5,000, tetapi kalau bilik sewa hanya RM450 sebulan.

“Kalau hendak ajak kawan-kawan kongsi sewa rumah pun susah nak cari yang satu kepala dengan kita, pembersih, jadi lebih baik sewa bilik sahaja, sekurang-kurangnya ada “privacy” walaupun sempit dan macam stor,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Turut memberi keluhan sama, Nurul Aqilah Mohd Hanafi, 24 yang berkata, gaji sederhana diperolehinya sekitar RM2,100 sebulan menyebabkannya mengambil keputusan menyewa bilik. Empat lagi rakan serumah turut mengambil keputusan sama.

“Awal-awal kerja mana mampu hendak sewa rumah, saya hanya mampu sewa bilik sekitar RM180 sebulan, itupun kongsi empat orang satu bilik dan dalam rumah ada tujuh orang kesemuanya. Memang “sardin” juga ramai-ramai satu bilik.

“Tetapi, hendak buat macam mana, gaji yang diterima hanya sebanyak itu, saya hendak makan lagi, kos pengangkutan lagi, tol, ansuran bulanan kereta lagi,” katanya yang menyewa sebuah bilik di Seksyen 15 Shah Alam.

Berkongsi menyewa bilik lebih murah memandangkan kos hidup di bandar yang tinggi.

Bagi Mohamad Iqbal Musa, 31 pula, beliau terpaksa menyewa bilik bersama warga asing termasuk dari Bangladesh dan Nepal kerana majoriti kos sewa bilik yang bersaiz lebih besar dan harga rumah sewa di sekitar tempat kerjanya terlalu “cekik darah”.

“Kalau bilik besar boleh muat katil saiz queen paling murah RM450 hingga RM500 sebulan, kalau rumah sewa pula antara RM1,200 hingga RM1,600 sebulan. Dengan gaji RM2,800 sebulan saya memilih sewa bilik bujang yang hanya muat satu katil single dan satu almari dengan harga RM350 sebulan,” katanya.

Iqbal berkata, tidak dinafikan beliau sendiri tidak selesa dengan keadaan di kawasan rumah sewanya, memandangkan terpaksa tinggal seramai 11 orang di dalam satu bilik, namun terpaksa mengambil pendirian “pejam mata” kerana menyedari hakikat kemampuan gajinya.

“Dari segi kebersihan tidak payah cakaplah, memang kotor dan busuk. Hendak masak di dapur juga tidak boleh sebab kotor, tetapi apa boleh buat sebab itu sahaja pilihan yang ada dengan kemampuan gaji saya. Jadi, terpaksalah tinggal di rumah sewa dengan warga asing,” katanya yang menyewa di Damansara Perdana.

Sementara itu, bagi pasangan muda yang baru berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata ketika ditemui FMT berkata, terpaksa menghantar anak ke kampung untuk dijaga orang tuanya, kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah yang selesa di bandar bagi membesarkan anaknya itu.

“Saya sudah kahwin dan terpaksa hantar anak ke kampung minta emak jaga, sebab kami kerja di Kuala Lumpur ini sewa rumah mahal deposit tinggi, hendak beli rumah lagilah tidak mampu, jadi kami terpaksa sewa bilik dan tinggal berdua suami isteri.

“Kalau sewa bilik dan hendak jaga anak sekali memang susah sebab tempat sempit, daripada upah pengasuh untuk jaga anak, saya bagi pada emak yang jaga di kampung untuk jimatkan kos. Kalau rindu anak, dua bulan sekali kami akan balik ke kampung di Melaka,” kata pasangan yang mahu dikenali sebagai Mirul dan Sofea.

Kedua-dua mereka itu menyewa sebua bilik di sekitar kawasan Ara Damansara. Pada masa sama, mereka juga berharap supaya kerajaan memantau pihak-pihak yang menawarkan bilik sewa dan rumah dengan harga yang tinggi.

“Saya harap kerajaan bantu golongan baru berkeluarga macam kami ini untuk miliki rumah. Saya juga berharap kerajaan pantau supaya sewa rumah dan bilik tidak kenakan caj terlalu mahal,” kata Mirul.

Bagi Arsha Harin, 28 dia memilih untuk tinggal di rumah ibu mertuanya, sejurus selepas berkahwin dua tahun lepas. Baginya, ia juga merupakan satu cara untuk membolehkannya berjimat.

“Saya sudah lihat banyak rumah tetapi harga sangat mahal. Agak mustahil untuk beli, jadi saya duduk di rumah mertua. Saya hanya perlu keluarkan sedikit duit sahaja, iaitu untuk membeli barangan dapur manakala ibu mertua menguruskan bil-bil rumah,” katanya.

Arsha yang berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran turut memaklumkan, dia mempunyai pengalaman pahit apabila ditipu oleh ejen sewa rumah, kerana keadaan bilik disewanya tidak seperti yang digambarkan.

Aisyah Amir, 25 pula berkata, dia mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama kedua-dua ibu dan bapanya di Shah Alam dan menyatakan dirinya amat bertuah kerana keluarganya tinggal di kawasan bandar dan tidak jauh jaraknya dari Kuala Lumpur.

“Saya tidak rasa saya mampu untuk menyewa sebuah rumah berdekatan pejabat yang terletak di Kuala Lumpur, kerana harga sewa pastinya mahal. Saya pilih untuk berulang alik dari Shah Alam ke pejabat dan hadapi kesesakan lalu lintas setiap hari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.