2 beradik maut, ibu kritikal bilik sewa terbakar

2 beradik maut, ibu kritikal bilik sewa terbakar

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra, berusia dua tahun.

Anggota bomba melakukan usaha pemadaman api membabitkan bilik sewa  mangsa di Banda Hilir, Melaka tengah hari tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua beradik maut manakala ibu mereka kritikal selepas bilik sewa didiami musnah dalam kebakaran di Banda Hilir, Melaka tengah hari tadi.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra, berusia dua tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka (HM) manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, masih kritikal di hospital sama.

“Polis menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 tengah hari daripada pemilik kedai pelekat dan bilik sewa itu yang berusia 41 tahun.

“Pemilik kedai menyedari kebakaran tingkat atas kedainya kira-kira 1.30 tengah hari dan terus menghubungi bomba.

“Pasukan bomba terdiri daripada dua pegawai dan 38 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, BBP Jalan Kubu dan BBP Ayer Keroh dengan tiga jentera dan sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP),” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Christopher berkata, siasatan awal saksi iaitu sepasang suami isteri menyedari kebakaran itu apabila asap tebal memasuki ruang bilik mereka di tingkat dua.

Katanya, mangsa terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri dan dihantar ke HM untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

“Tiga beranak itu yang terperangkap dalam sebuah bilik di tingkat tiga (Lot 3-27) dikeluarkan oleh anggota bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HM.

“Bagaimanapun, dua beradik itu disahkan meninggal dunia, manakala ibu mereka masih kritikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.