
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pelaksanaan pindaan itu memerlukan libat urus lebih komprehensif dengan semua pemegang taruh dan mengambil masa panjang.
“Isu ketiadaan ahli majlis, saya tidak menyatakan perkara ini tidak penting…untuk jangka pendek, fungsi Majlis Perwakilan Penduduk akan ditambah baik sebagai semak dan imbang,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) dan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai pindaan akta itu bagi membolehkan ahli majlis dilantik sama seperti PBT lain.
Sementara itu, Zaliha berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan mesyuarat konsultasi datuk Bandar Kuala Lumpur bersama ahli Wilayah Persekutuan sebagai platform membincangkan isu dasar serta berkaitan ibu negara.
“Jadi perkara dibangkitkan Seputeh boleh dibincangkan dalam platform ini dan Majlis Wilayah yang telah dikatifkan semula,” katanya.
Pelantikan ahli majlis antara resolusi utama diluluskan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam konvensyennya pada 13 Okt lalu.
Ketuanya Tan Kok Wai berkata ia langkah pertama ke arah reformasi lebih meluas termasuk membawa kepada mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.
Teresa yang juga naib pengerusi DAP pula menekankan kepentingan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 untuk membolehkan Kuala Lumpur mempunyai ahli majlis.