
Namun, siapa sangka bandar di negara rantau Oceania dengan anggaran penduduk seramai 14,350 itu juga menjadi ‘teratak’ buat kira-kira 40 perantau Muslim Malaysia.
Walaupun bandar itu terkenal dengan keindahan alam dan seni bina bersejarah, kira-kira 100 komuniti Muslim di situ agak kurang bernasib baik kerana ketiadaan masjid atau surau untuk beribadat.
Di kala rakyat Malaysia mengimarahkan masjid pada Ramadan dengan aktiviti berbuka puasa, solat tarawih dan Aidilfitri berjemaah, lain pula keadaan dengan komuniti Muslim di Oamaru.

Presiden Muslim Association Of Oamaru Incorporated, Nurhisyam Ramli, berkata buat masa ini ruangan pejabat Pusat Islam Oamaru (OIC) digunakan untuk kegiatan berjemaah setiap hari.
Katanya, namun bangunan dikongsi dengan penyewa lain itu terikat dengan pelbagai peraturan sekali gus menyukarkan urusan kariah dan perantau.
“Sebelum penubuhan OIC memang sukar buat perantau mencari tempat untuk solat. Mereka terpaksa berhenti di tepi jalan, tasik, sungai atau mana-mana tempat kosong.
“Tahun ini masuk tahun ketujuh kita menyewa bangunan yang dijadikan OIC ini, dan kita memang berharap untuk memiliki bangunan sendiri sebagai sebuah masjid suatu hari nanti,” katanya kepada FMT.
Nurhisham yang hampir 10 tahun menetap Oamaru berkata, pihaknya amat mengalu-alukan bantuan daripada rakyat Malaysia bagi merealisasikan niat suci membina sebuah masjid yang akan menjadi pusat ibadat dan penyatuan ummah komuniti Muslim di sana.
Katanya, majoriti Muslim di Oamaru juga berasal dari Malaysia selain rakyat negara lain termasuk Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Mesir.

Sementara itu, bercerita pengalaman beraya di Oamaru, Rozaidi Ani, 53, yang bermastautin lebih 30 tahun di sana berkata perasaan rindunya masih membuak apabila terkenangkan suasana perayaan di Malaysia.
“Sambutan keramaian seperti ziarah-menziarahi sanak saudara dan menikmati makanan seperti ketupat dan rendang paling dirindui. Kalau di sini (Oamaru) makan apa ada saja,” katanya.
Walaupun jauh dari tanah air, Rozaidi tetap cuba menghidupkan suasana Aidilfitri di Oamaru dengan menyambutnya bersama komuniti Muslim terdiri pelbagai bangsa dan budaya.
Beliau mengakui semangat kekeluargaan dan persaudaraan sesama perantau sedikit-sebanyak mengubat rindunya.
Bagi rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan bagi membangunkan masjid di Oamaru, Nurhisham boleh dihubungi di talian 013 2229492.