
Zubairi Abd Mutalib, 60, yang bertugas sebagai ketua jentera bot ronda berpangkalan di Kampung Acheh Sitiawan didakwa menerima wang tunai daripada Lim Mee Lan sebanyak RM150 hingga RM4,750 setiap bulan antara Mei 2016 hingga Julai 2019.
Tertuduh didakwa menerima wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap 18 bot nelayan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zubairi turut didakwa atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Jurubahasa mahkamah mengambil hampir sejam setengah untuk membaca semua 43 pertuduhan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin di depan Hakim N Prescilla Hemamalini, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizad Fakhri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, bagaimana jaminan tidak dapat dilakukan akibat kesuntukan masa kerana prosiding hanya selesai 4.30 petang tadi.
Ini bermakna tertuduh terpaksa bermalam di lokap SPRM sehingga kesnya disebut semula esok.
Tertuduh akan didakwa dengan 101 pertuduhan lagi menerima rasuah di mahkamah sama pagi esok.
Terdahulu, Nurul Wahidah memohon tertuduh diberikan jaminan RM40,000 untuk keseluruhan kes kerana ia adalah kesalahan serius membabitkan penjawat awam.
Bagaimanapun, Aizad memohon jumlah minimum RM5,000 dikenakan kerana tertuduh merupakan penyara tunggal keluarganya.