Suhakam tiada kuasa buat inkuiri, kata keluarga tahanan maut dalam lokap

Suhakam tiada kuasa buat inkuiri, kata keluarga tahanan maut dalam lokap

Kanun Prosedur Jenayah beri kuasa eksklusif kepada koroner untuk pastikan bagaimana tahanan maut.

Peguam keluarga tahanan yang mati dalam lokap polis bayangkan kemungkinan cabar hak Suhakam melakukan inkuiri.
PETALING JAYA:
Keluarga seorang tahanan yang maut dalam lokap balai polis Bentong menegaskan Suhakam tiada bidang kuasa untuk menyiasat kes kematian seperti itu.

Peguam M Visvanathan yang mewakili keluarga G Jestus Kevin berkata, Kanun Prosedur Jenayah (CPC) jelas memberikan kuasa eksklusif kepada koroner untuk menyiasat kenapa dan bagaimana seseorang maut.

“Apabila kita mempunyai mekanisme sebegitu dalam undang-undang jenayah kita, kenapa pula perlu Suhakam menyiasatnya, dan bukankah itu tidak perlu selain membazir dana awam?

“Kami tidak menerima sebarang inkuiri kerana itu melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Belaiu mengulas kenyataan pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bahawa Akta Suhakam memberi badan itu mandat untuk melakukan siasatannya sendiri atau sebagai tindak balas terhadap aduan.

“Selagi ada dakwaan yang sampai ke pengetahuan kita, kita boleh memulakan (siasatan),” kata Mah.

Sementara itu, rakan pesuruhjayanya Jerald Joseph berkata, inkuiri mereka terhadap kematian Jestus berakhir pada April lalu, beberapa bulan sebelum prosiding inkues bermula.

Visvanathan juga berkata, dapatan Suhakam tidak berguna untuk keluarga terbabit sekiranya mahu mengemukakan tuntutan sivil untuk ganti rugi daripada kerajaan pada masa akan datang.

“Inkuiri Suhakam dilakukan secara rahsia dan kami tidak dipanggil untuk turut serta atau menjadi pemerhati bagi membantu mereka.”

Katanya, mengikut Seksyen 12(3) Akta Suhakam, anggota dan pegawainya kebal daripada prosiding mahkamah, seterusnya “tidak akan diperlukan untuk mengemukakan di mana-mana mahkamah, sebarang dokumen diterima” ketika inkuiri dilakukan mereka.

“Saya mungkin akan menasihatkan keluarga itu untuk mencabar hak Suhakam menyiasat kematian dalam tahanan di mahkamah, atas alasan itu melanggar Kanun Prosedur Jenayah.

“Memandangkan mereka ada satu cara berfikir, saya rasa eloklah merujuk kepada mahkamah untuk penjelasan berhubung undang-undang berkenaan,” katanya.

Tahun lalu, Bernama memetik ketua polis Bentong Yusof Unis berkata, Jestus maut dalam tahanan akibat masalah pernafasan dan bebas Covid-19.

Jestus ditahan untuk membantu siasatan kes kecurian pada 2 April 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.