
Beliau percaya ada hujah berasas untuk membenarkan Parlimen bersidang, tanpa menjejaskan pelaksanaan darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum ini.
“Hari ini, saya bercadang memfailkan afidavit ke mahkamah, untuk membantah keputusan menggantung Parlimen kerana ada hujah Perlembagaan yang membolehkan Parlimen bersidang, sementara darurat dijalankan.
“Kita akan failkan hanya untuk persidangan Parlimen. Ia tidak beri ruang kepada orang cari helah, pandangan kononnya kita hendak bertelagah dengan keputusan Agong,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya.
Anwar turut memaklumkan, pihak Istana Negara tidak akan meneliti isu ini dan tidak mudah dipermainkan dalam simpang siur serta sepak terajang ahli-ahli politik dalam negara.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.
Langkah itu menyusuli tindakannya menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah membatalkan perisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Jan ini.
Bahkan, beliau turut mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Anwar berkata, jumlah itu mencukupi dan meminta Agong mempertimbangkan usul tersebut serta memanggil sidang Parlimen dengan segera.
Kerajaan atas persetujuan Agong mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.
Ia disusuli jaminan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa darurat bukan rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sehingga tempoh berakhir.