Tentera laut selamatkan 7 kru kapal kargo karam

Tentera laut selamatkan 7 kru kapal kargo karam

Dalam kejadian kira-kira 2 petang kapten kapal kargo Mermaid Challenger menghubungi pihak berkuasa selepas menyedari kapal membawa muatan empat kontena itu dimasuki air.

Anak kapal yang diselamatkan mendapat rawatan di Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan.(Gambar Bernama)
SANDAKAN:
Tindakan pantas kapten sebuah kapal kargo yang sedang tenggelam menghubungi pihak berkuasa meminta pertolongan, berjaya menyelamatkan nyawa semua tujuh anak kapal itu dalam kejadian di perairan Terumbu Segama petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, Bili Odong, 55, kapten kapal kargo Mermaid Challenger, berkata beliau bertindak menghubungi pihak berkuasa selepas menyedari kapal yang membawa muatan empat kontena tersebut dimasuki air.

“Setelah mendapat respons daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memaklumkan bantuan akan sampai, saya kerahkan anak kapal menurunkan rakit keselamatan dan semua kru menaiki rakit itu.

“Ketika itu, kapal mulai tenggelam, saya tidak mahu mengambil risiko terhadap nyawa anak-anak kapal saya,” katanya ketika ditemui pemberita setiba di jeti Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) TLDM selepas diselamatkan oleh KD Sri Gaya.

Seorang kru kapal, Norhamri Abdul Satar, 61, berkata mereka memulakan pelayaran kira-kira 12 tengah malam semalam (17 Jan) dalam cuaca baik dari Sandakan menuju sempadan Malaysia-Filipina untuk menghantar kontena berkenaan ke sebuah kapal Filipina.

Bagaimanapun katanya, kapal mulai dimasuki air dipercayai akibat satu kebocoran di bahagian depan kapal.

“Keadaan air yang memasuki kapal tidak dapat dikawal menyebabkan kapten kapal menghubungi pihak berkuasa. Keadaan laut juga semakin bergelora,” katanya.

Panglima Mawilla 2 Rusli Ahmad berkata, kapal KD Sri Gaya yang sedang membuat rondaan di kawasan perairan berkenaan telah memberi respons segera kepada panggilan kecemasan kapal itu.

“Kapal KD Sri Gaya tiba di lokasi kejadian pada 6.40 petang dan berjaya menyelamatkan semua tujuh kru termasuk kapten berumur antara 18 dan 61 tahun yang berada di atas rakit keselamatan.

“Operasi memindahkan kru dari rakit ke kapal TLDM dilakukan secara pantas mengambil kira keadaan angin kencang dan laut bergelora, selain keadaan yang mulai gelap,” katanya.

Menurut Rusli, kejadian kapal karam itu merupakan yang ketiga berlaku di perairan berkenaan dalam tempoh seminggu, selepas kejadian membabitkan bot tunda pada 13 Jan lalu di Kuala Kinabatangan Besar dan bot pukat tunda nelayan dua hari kemudian di Kuala Meruap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.