Penjawat awam kanan perjelas perlunya kuasa terhadap harta swasta ketika darurat

Penjawat awam kanan perjelas perlunya kuasa terhadap harta swasta ketika darurat

Ketua setiausaha negara Mohd Zuki Ali berkata, undang-undang sedia ada tidak cukup fleksibel untuk membolehkan Covid-19 ditangani dengan pantas.

Ketua setiausaha negara Mohd Zuki Ali berkata, ordinan darurat bolehkan kerajaan gunakan bangunan persendirian sebagai bilik darjah tambahan. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Dua penjawat awam kanan menjelaskan kenapa perlunya akses sementara terhadap harta, bangunan atau harta mudah alih swasta untuk memerangi Covid-19 ketika tempoh darurat.

Ketua setiausaha negara Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan memerlukan pelbagai sumber, kemudahan dan tenaga kerja untuk melawan pandemik yang kini dianggap ancaman kebangsaan.

Zuki turut menjelaskan bahawa akses sementara untuk aset swasta tidak terhad kepada sektor kesihatan semata-mata, malah menegaskan kerajaan boleh menggunakan kuasa itu untuk sektor penting lain seperti ekonomi, keselamatan, pendidikan antara lain.

Contohnya, disebabkan sukar untuk memastikan penjarakan sosial di sekolah, katanya kerajaan boleh menyediakan bangunan lebih besar untuk pentadbiran sekolah mengadakan pembelajaran akademik tanpa meletakkan kesihatan pelajar dalam bahaya.

Menurutnya, pengisytiharan darurat adalah perlu kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak mencukupi untuk mengekang pandemik Covid-19 yang semakin buruk di negara ini.

“Darurat adalah pilihan terbaik untuk kerajaan menerima bantuan daripada sektor swasta,” katanya dalam temu bual secara langsung hari ini.

Ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mohd Rabin Basir berkata, keadaan akan semakin teruk jika kerajaan hanya bergantung kepada Akta 342 sepenuhnya dan tidak mengguna pakai ordinan darurat.

“Ini kerana kerajaan tidak akan mendapat bantuan diperlukan,” katanya

Tambahnya, ordinan membolehkan kuasa terhadap aset persendirian juga akan mempercepatkan sebarang proses membuat keputusan dengan sektor swasta.

“Ordinan akan membolehkan kerajaan mengelak birokrasi dan proses rundingan panjang dengan sektor swasta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.