
Beliau berkata kesan langsung negara diletakkan di bawah proklamasi darurat adalah “kedaulatan undang-undang sudah dimansuhkan.”
“Kita diyakinkan bahawa hasrat (diadakan darurat) adalah baik.
“Tetapi apabila kuasa mutlak diberikan (kepada kerajaan) pencabulan (undang-undang) dan penyelewengan akan berlaku,” kata bekas perdana menteri itu di blognya.
Mahathir berkata, walaupun diberikan kuasa-kuasa yang begitu luas menerusi pengisytiharan darurat itu, keupayaan Muhyiddin Yassin dan kerajaannya membendung wabak Covid-19 tetap diragui.
“Apakah bentuk nasihat yang beliau boleh beri kepada Yang di-Pertuan Agong yang berupaya mengurangkan jumlah orang yang dijangkiti (Covid-19), atau perlu dirawat di hospital, atau pun yang akan mati,” tanya Mahathir.
Apa pun, Mahathir berkata pengisytiharan darurat pada Selasa lalu memberikan kuasa yang luas untuk kerajaan mengambil sebarang tindakan atas nama Agong.
“Segala-gala di buat dengan menggunakan nama Agong. Mereka (kerajaan) tidak boleh dipersoalkan dan tidak boleh dibawa ke Parlimen (untuk memberi penjelasan.)
“Ini kerana semua sidang Parlimen sudah dibatalkan,” kata beliau.
Selain Mahathir, pemimpin pembangkang lain turut mempertikaikan keperluan Muhyiddin mengusulkan pengisytiharan darurat untuk memerangi Covid-19, memandangkan perintah kawalan pergerakan sudah pun dikuatkuasakan di sebahagian besar negara.
Mereka mendakwa usul kerajaan untuk meletakkan negara bawah darurat sehingga 1 Ogos adalah untuk ‘menyelamatkan’ kerajaan pimpinan Muhyiddin,
Muhyiddin dan pemimpin PN menegaskan pengisytiharan darurat itu akan membolehkan kerajaan menangani wabak itu dengan lebih berkesan.
Menurut Istana Negara, darurat akan ditamatkan lebih awal jika wabak Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan.