
Ia adalah Dewan Gersik di Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir di Muar berharga RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong di Muar berjumlah RM5.77 juta.
“Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan sepertimana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
“Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.
Penjelasan itu menyusul gesaan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengesahkan surat mengenai peruntukan lebih RM35 juta bagi membina dewan di Parlimen Pagoh, yang tersebar di media sosial.
Akmal mempersoalkan kewajaran jumlah begitu besar untuk membina dewan di Pagoh, ketika negara berdepan wabak.
Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 11 Jan yang dikatakan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada ketua pengarah kerja raya.
Ia menyatakan perdana menteri mahu projek itu dilaksanakan secepat mungkin dan Jabatan Kerja Raya diarah memulakan kerja di tapak menjelang 1 Mac ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, tawaran projek membina tiga dewan itu tidak dibuat melalui rundingan terus, sebaliknya mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan.
“Dakwaan seperti yang ditularkan berniat jahat dan Pejabat Perdana Menteri merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.”