PKP 2.0: Dewan AS-Malaysia puji usaha minimumkan gangguan pada perniagaan

PKP 2.0: Dewan AS-Malaysia puji usaha minimumkan gangguan pada perniagaan

AMCHAM menyambut baik usaha kerajaan di semua peringkat dan agensi atas penyelarasan usaha pelaksanaan PKP 2.0.

Ahli Dewan Perniagaan AS-Malaysia maklum mengenai keperluan pematuhan SOP bagi meminimumkan penularan Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) memuji penglibatan berterusan kerajaan dalam pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang membolehkan perniagaan beroperasi dengan gangguan yang minimum.

AMCHAM turut menyambut baik usaha kerajaan di peringkat kementerian, jabatan, dan agensinya, terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), atas penyelarasan usaha pelaksanaan PKP 2.0 bermula dari 13-26 Jan 2021.

“Penyebaran maklumat berkaitan yang dilakukan secara pantas dan berkesan membolehkan kalangan eksekutif syarikat bertindak memaklumkan kakitangan masing-masing, termasuk di pejabat serantau dan global, dalam usaha membuat keputusan sewajarnya.

“Oleh kerana mereka juga mempunyai hubungan kerjasama dengan badan kerajaan secara langsung atau menerusi perantara seperti AMCHAM, ia turut memberi kemudahan dari segi kestabilan dan jaminan untuk para pelanggan tempatan dan global,” kata dewan itu dalam kenyataan hari ini.

AMCHAM turut memberi jaminan untuk terus menyokong ahlinya dan kerajaan dalam usaha menangani pandemik Covid-19, dengan mengutamakan keselamatan orang ramai sambil mengimbangi keperluan ekonomi.

“Kalangan ahli AMCHAM juga amat maklum mengenai keperluan pematuhan prosedur operasi standard yang menjadi keutamaan bagi meminimumkan penularan Covid-19 serta sentiasa berhati-hati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.