Suhakam bimbang tiada semak dan imbang ke atas kerajaan ketika darurat

Suhakam bimbang tiada semak dan imbang ke atas kerajaan ketika darurat

Suhakam berkata, keadaan darurat harus didokong prinsip hak asasi manusia dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, selain menangani Covid-19.

Suhakam menggesa kerajaan mengambil pendekatan efektif untuk menyokong hak sosial rakyat dan ekonomi teras, khasnya golongan rentan yang terjejas akibat pelaksanaan darurat serta PKP.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bimbang tiada semak dan imbang terhadap penumpuan kuasa eksekutif kerajaan ketika pelaksanaan darurat memandangkan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh kecemasan itu.

Justeru, Suhakam menggesa kerajaan menghormati undang-undang dan terus melindungi kebebasan hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Keadaan darurat harus didokong prinsip hak asasi manusia dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, selain menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan melaksanakan darurat 1 Ogos ini atau tarikh lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pengisytiharan itu menyusuli pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan selama dua minggu mulai hari ini di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akibat lonjakan kes Covid-19.

Suhakam berkata, proklamasi darurat bagi membendung Covid-19 tidak boleh “dijustifikasikan” kerana kerajaan baru melaksanakan PKP di lima negeri mulai hari ini hingga 26 Jan, yang dilihat mencukupi untuk mengekang pandemik itu.

Ia turut menggesa kerajaan mengambil pendekatan efektif untuk menyokong hak sosial rakyat dan ekonomi teras, khasnya golongan rentan yang terjejas akibat pelaksanaan darurat serta PKP.

“Langkah-langkah yang perlu diambil kira termasuk sokongan untuk mencari pendapatan, makanan, pendidikan, perlindungan sosial dan kesihatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.