Kurangkan kos, bukan pekerja, peguam muda beritahu firma guaman

Kurangkan kos, bukan pekerja, peguam muda beritahu firma guaman

Gerakan Peguam Muda berkata, ketika PKP pertama kali dilaksanakan Mac tahun lalu, terdapat peguam muda yang dipaksa menerima pemotongan gaji atau meletak jawatan.

Antara langkah pengurangan kos yang dicadangkan peguam muda ialah membekukan pembelian kereta baru syarikat.
PETALING JAYA:
Sekumpulan peguam muda meminta firma tidak memberhentikan pekerja ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di lima negeri, sebaliknya mengurangkan kos dengan membekukan pembelian aset baru.

Gerakan Peguam Muda (YLM) berkata, ketika PKP pertama kali dilaksanakan Mac tahun lalu, terdapat aduan peguam muda dipaksa menerima pemotongan gaji.

Ada juga mereka yang dipaksa meletak jawatan kerana firma cuba mengurangkan kos dan perbelanjaan tetap.

YLM yang kesal dengan kejadian itu berkata, firma guaman sepatutnya melindungi pendapatan sekutu mereka dan pelatih kerana mereka sudah “berjanji untuk taat setia dan berkhidmat kepada firma itu” dengan harapan dapat membina kerjaya.

“Pemberhentian pekerja perlu menjadi kaedah terakhir firma dan mereka harus mematuhi prinsip masuk terakhir, pertama keluar dan memastikan mereka mencuba semua langkah pengurangan kos terlebih dahulu, sebelum memberhentikan kerja.

“Antara langkah pengurangan kos yang boleh diambil firma ialah membekukan pembelian aset baru seperti kereta syarikat, perabot dan peralatan pejabat serta elaun pekerja firma kerana kini kita mengamalkan budaya kerja dari rumah (WFH),” katanya dalam kenyataan.

YLM turut menggesa peguam muda di bawah kontrak membawa kes mereka ke Mahkamah Perusahaan, jika mereka dipaksa menerima pemotongan gaji atau meletak jawatan.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu di lima negeri dan Wilayah Persekutuan, susulan lonjakan kes Covid-19.

Lima negeri itu ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.