
RUU itu diluluskan dengan undian suara majoriti wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika membentangkan RUU itu berkata sebanyak 12,306 tuntutan ditolak oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 2023 hingga Oktober lalu selepas ia diputuskan sebagai bukan bencana kerja.
Katanya, jumlah itu menunjukkan wujud kepentingan untuk kerajaan melaksanakan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang dimasukkan dalam RUU berkenaan.
Menurutnya, skim itu bagi mengelakkan situasi di mana ribuan keluarga pekerja terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan hanya kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja.
“Melalui SKBBK, ia mampu memberikan perlindungan selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu kepada pekerja yang ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.
“Cadangan pelaksanaan SKBBK itu adalah jaminan bahawa apabila tragedi berlaku tanpa diduga kepada pekerja, keluarga mangsa tidak akan jatuh miskin dalam sekelip mata,” katanya sambil memaklumkan RUU itu akan memberi manfaat kepada 10 juta pekerja.
Sim berkata, melalui pindaan akta itu, caruman SKBBK akan dibayar pekerja dan akan disalurkan oleh majikan kepada Perkeso.
Katanya, kerajaan memutuskan supaya kadar caruman SKBBK ditetapkan secara berperingkat mengikut tiga fasa pelaksanaan.
Tambahnya, kementerian juga meminta Perkeso mengkaji bagaimana RUU berkenaan boleh diguna pakai kepada pekerja gig sepenuh masa.