Jumpa di mahkamah, KM P Pinang beritahu MB Kedah berkait isu air

Jumpa di mahkamah, KM P Pinang beritahu MB Kedah berkait isu air

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri itu.

Chow Kon Yeow dan Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini bertikam lidah berhubung isu caj air mentah dari Sungai Muda.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang sedia menemui Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di mahkamah berhubung isu caj air mentah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri itu.

Beliau berkata, Sungai Muda bukan milik eksklusif Kedah, sebaliknya sebahagian sungai itu adalah “milik” Pulau Pinang dan menteri besar Kedah tidak mempunyai asas untuk menuntut pembayaran daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.

“Kami bersedia berjumpa menteri besar Kedah di mahkamah, sekiranya pihak tersebut ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap isu caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, fakta Sungai Muda mengalir melalui Pulau Pinang didokumentasikan dalam Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) serta termaktub sebagai akta dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, kerajaan Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah, jika masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.