Tragedi 9 lemas: Isteri berkeras hantar anak kembali ke madrasah, kata pendakwah

Tragedi 9 lemas: Isteri berkeras hantar anak kembali ke madrasah, kata pendakwah

Siti Aishah Abdullah bersama lima anaknya antara sembilan yang lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjatuh ke sungai.

Munah Agon yang kehilangan dua anak dan tujuh cucu dalam tragedi semalam, tidak dapat menahan sebak ketika hadir untuk proses pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Sri Aman hari ini. (Gambar Bernama)
SRI AMAN:
Mohamad Hamzah Razali, 43, tidak menyangka sikap isterinya, Siti Aishah Abdullah, berkeras menghantar sendiri dua anak mereka kembali ke madrasah pendidikan Islam di Kuching semalam menjadi petanda akhir pemergiannya.

Siti, 36, bersama lima anaknya, antara sembilan yang lemas selepas pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka terjatuh ke Sungai Batang Lupar, kira-kira 100km dari sini, semasa berada di Jeti Feri Triso untuk menaiki feri.

Hamzah yang juga seorang pendakwah berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau dan isterinya mengambil serta menghantar Khairunnisa, 14, dan Nur Syuhada, 16, ke madrasah itu.

“Tapi, kali ini dia (Siti) berkeras untuk bersama adiknya menghantar anak-anak saya balik ke (madrasah di) Kuching dengan memandu dari rumah kami di Kapit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman.

Hamzah berkata, kali terakhir beliau mendapat mesej daripada isterinya melalui WhatsApp selepas solat Jumaat semalam memaklumkan arwah dalam perjalanan ke Kuching bersama adik ipar dan ahli keluarga yang lain menaiki dua kenderaan.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas ibu mertua saya menelefon kira-kira 3.19 petang mengatakan kereta (kenderaan 4WD) yang dinaiki isteri saya jatuh ke dalam sungai,” katanya, sambil menyuarakan keredaannya dengan pemergian isteri dan lima anaknya serta adik ipar dan dua anak saudaranya.

Katanya, beliau menerima tragedi itu sebagai ketentuan Tuhan.

Sementara itu, Munah Agon, 58, ibu kepada Aishah, jelas masih dalam keadaan trauma ketika ditemui Unit Forensik Hospital Sri Aman.

Beliau yang menaiki sebuah lagi kenderaan di belakang 4WD itu hanya mampu menjerit dari jauh melihat kenderaan dinaiki anak dan cucunya bergerak laju secara tiba-tiba, sebelum terhumban ke sebelah kanan laluan menghala feri itu.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa…hanya mampu melihat kereta itu mulai tenggelam. Kemudian mereka (orang ramai) di pangkalan terjun ke sungai untuk mengeluarkan anak-anak dan cucu saya dan membawa mereka ke atas jeti,” katanya, yang kehilangan dua anak perempuan dan tujuh cucu dalam kejadian itu.

Beliau berkata, tujuan mereka bergerak ke Kuching untuk menghantar dua cucu perempuannya, Nur Syuhada dan Khairunisa, kembali ke Madrasah di Samariang, Kuching yang akan memulakan sesi pengajaran minggu depan.

“Perkara itu dimaklumkan Aishah ketika berkunjung ke rumah saya…saya berasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan turut serta ke Kuching menggunakan sebuah lagi kenderaan yang dipandu anak lelaki saya.”

Katanya, sebelum menghampiri Jeti Feri Triso, mereka sempat berehat sebentar di tepi jalan dan mengambil salah seorang anak Siti Aishah yang dikenali sebagai Fatihah Najwa, 10, sebelum meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Hamzah berkata, jenazah isteri dan anak-anaknya yang terkorban dalam tragedi itu akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu Sri Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.