Menteri agama nafi “Merry Christmas” pada produk ditempah batal sijil halal premis

Menteri agama nafi “Merry Christmas” pada produk ditempah batal sijil halal premis

Zulkifli Mohamad berkata ada 'sedikit salah faham' pada laporan media berhubung peraturan JAKIM.

Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad nafi ucapan “Merry Christmas” pada produk yang ditempah pelanggan akan membatalkan sijil halal premis, menjelaskan pemegang sijil boleh memenuhi tempahan tanpa sebarang masalah.

Menegaskan tiada larangan dikhususkan untuk perayaan selain Islam dalam manual tatacara pensijilan halal, Zulkifli berkata ucapan “Merry Christmas” dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat “bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal”.

“Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya di Twitter.

“Ringkasnya, jika kedai B yang ada sijil halal JAKIM buat kek dengan ucapan perayaan pada kek untuk tujuan pameran di dalam premis, ia tidak dibenarkan tetapi jika kedai B menyediakan kek yang ditempah A dan ada ucapan perayaan pada kek, ia dibenarkan.”

Sebelum ini, laman Malaysia Now melaporkan sebuah kedai tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang meminta ucapan “Merry Christmas” ditulis pada kek yang dipesan.

Menurut laporan itu, pemilik kedai bakeri itu mengatakan ia sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan JAKIM sebagai salah satu syarat permohonan bagi mendapatkan sijil halal.

Zulkifli berkata “ada sedikit salah faham” dalam isu ini.

“Saya harap penjelasan ini boleh meleraikan salah faham.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.