
Zulkifli melalui beberapa hantaran di Twitter berkata, dalam pengetahuannya garis panduan seperti itu belum ada lagi.
“Insya-Allah saya akan kongsikan (cadangan garis panduan) dalam masa terdekat,” katanya.
Zulkifli berkata, beliau pernah melawat gereja, tokong dan gurdwara malah pernah bermesyuarat dengan pimpinan tertinggi Gereja Katolik termasuk Paus Francis di Bahrain tahun lalu.
Dengan Islam sebagai agama persekutuan, Zulkifli berkata beliau ingin melihat Malaysia lebih harmoni dan pada masa sama tidak longgar pegangan agama masing-masing.
“Saya ingin melihat Malaysia yang lebih toleransi tetapi tidak menggadaikan prinsip akidah masing-masing,” katanya.
Kenyataan Zulkifli itu sehari selepas kerajaan Selangor melarang penganjuran program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.
Larangan itu dipercayai selepas dakwaan ahli Bersatu, Che’GuBard atau Badrul Hisham Shaharin dalam catatan di Facebooknya mendakwa “Projek Artikel 11”, program agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan aktiviti “evangelist” atau dakwah ke arah agama Kristian.
Menurut poster promosi program tersebut, lawatan berkenaan untuk individu bukan penganut Kristian yang mahu memahami mengenai kepercayaan itu. Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, tiada peserta Islam terlibat dalam program tersebut.