
Timbalan ketua pengarah itu ditangkap semalam di ibu pejabat SPRM selepas memberikan kenyataan kepada pihak berkuasa.
Empat yang lain turut ditangkap, termasuk setiausaha bahagian Kementerian Pengangkutan dan tiga pengarah syarikat perkapalan yang berbeza.
Suspek berusia antara 35 hingga 54 tahun.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu didapati menyalahgunakan kuasa dalam mengeluarkan surat pengecualian kepada beberapa syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat ke perairan Malaysia tanpa kelulusan menteri pengangkutan.
“Ketua pengarah jabatan terbabit sendiri tidak mengetahui berhubung pengeluaran surat pengecualian itu sedangkan beliau sebelum ini mengeluarkan surat arahan melarang penggunaan kapal ‘single hull, double bottom’ untuk mengangkut minyak gred berat ke perairan Malaysia
Menurut sumber, kelulusan khas itu menimbulkan banyak rungutan dan aduan daripada pengusaha kapal lain yang sudah beralih kepada vesel “double hull, double bottom”.
“Ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut kesan daripada tumpahan minyak oleh kapal jenis single hull.”
Sumber itu menambah kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM.
Ketika dihubungi, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan, tetapi enggan mengulas lanjut.