Yakin ada majoriti untuk jadi PM? Sila ke Istana, kata Takiyuddin

Yakin ada majoriti untuk jadi PM? Sila ke Istana, kata Takiyuddin

Menteri undang-undang itu berkata, ia adalah sebahagian daripada demokrasi.

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti berdasarkan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar bulan lepas.
KUALA LUMPUR:
Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, soal Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri (PM) lebih baik ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen boleh mengemukakan akuan berkanun (SD)  membuktikan mempunyai sokongan majoriti di Parlimen kepada Agong untuk membuat keputusan.

Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti untuk terus menjadi PM berdasarkan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat bulan lalu.

Bagaiamanpun, kerajaan tiada halangan jika mana-mana Ahli Parlimen mahu mengemukakan SD kepada Istana Negara untuk membuktikan beliau layak menjadi perdana menteri, kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS.

“Kita akui ia sebahagian daripada demokrasi,” kata Takiyuddin pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta perdana menteri  menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya terhadapnya akan dibentang untuk perbahasan dan undian di Dewan Rakyat.

Takiyyuddin yang menjawab bagi pihak Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan terbuka kepada usul undi tidak percaya dan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, tetapi menurut Peraturan Mesyuarat 14 dan 15 dewan, urusan kerajaan harus diberi keutamaan.

Beliau berkata, perlembagaan persekutuan tidak menyediakan prosedur jelas dalam menentukan sama ada seseorang mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk membuat keputusan,” katanya.

Katanya, Agong boleh mengambil langkah sesuai bagi menentukan sekiranya seseorang Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti, termasuk menerima apa-apa dokumen daripada Ahli Parlimen.

Minggu lepas,  Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu disingkirkan sebagai menteri besar Perak selepas beliau tewas usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau hanya mendapat 10 undi menyokong daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Berikutan perkembangan itu, pembangkang di peringkat nasional mendesak Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun supaya membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.