Hentikan politik jumud, beradu kuasa, aniayai rakyat, titah Sultan Perak

Hentikan politik jumud, beradu kuasa, aniayai rakyat, titah Sultan Perak

Ia akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan, kata Sultan Nazrin Shah.

(Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Sultan Nazrin Shah berkata pertukaran menteri besar Perak buat kali ketiga sejak 2018 mencerminkan kegagalan ahli politik berfikiran “jumud” dan tidak berhenti-henti beradu kuasa” sehingga menganiayai rakyat.

Dalam titah yang tegas sempena istadat perlantikan Ketua Umno Negeri Saarani Mohamad sebagai menteri besar baharu, Sultan Nazrin berkata rakyat tidak harus menjadi mangsa permainan politik khususnya ketika pandemik Covid-19.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19.”

“Jangan dijadikan (rakyat seperti) kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu,” kata baginda.

“Janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” tambah Sultan Nazrin.

Baginda menyifatkan perubahan pucuk pimpinan Perak yang ketiga dalam satu penggal sebagai peristiwa bersejarah yang tidak diingini.

“Perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan,” kata baginda.

Faizal dilantik sebagai menteri besar di bawah naungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018. Bagaimanapun perbalahan politik menyaksikan kerajaan PH tumbang di Putrajaya dan beberapa negeri lain, termasuk Perak, kepada Perikatan Nasional (PN).

Faizal dilantik semula MB di bawah teraju PN pada Mei lalu namun tidak bertahan lama. Jumaat lalu, 24 daripada 25 ADUN Umno yang sebelum ini menyokong beliau, menarik balik sokongan itu di DUN Perak.

Semalam, PAS dan PPBM bersetuju menyokong Umno dalam mencalonkan Saarani yang juga ADUN Tampan sebagai menteri besar baharu di bawah kerajaan negeri PN.

Sultan Perak mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak menghampakan pengundi yang mahukan kemajuan, keamanan dan pemerintahan adil.

Baginda mengingatkan ahli politik bahawa sifat dan watak sebenar mereka akan terserlah apabila mereka diuji dengan kuasa dan harta.

“Betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam,” kata Sultan Nazrin.

“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin,” kata Sultan Nazrin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.