
Perkara itu dipersetujui sebulat suara MPT PPBM dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Muhyiddin Yassin malam tadi.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata, MPT kesal UMNO tidak menyokong Ahmad Faizal Azumu apabila usul percaya yang diusulkan oleh UMNO sendiri dibentangkan untuk undian di Dewan Negeri Perak baru-baru ini.
“Berikutan itu, MPT sebulat suara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara PPBM dan PAS melalui Perikatan Nasional dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.”
Berkenaan penubuhan kerajaan baharu di Perak pula, MPT berkata semua keputusan PPBM akan mengambil kira ketetapan bersama PN, “terutama PAS yang terlibat secara langsung”.
Faizal tersingkir menerusi usul percaya pada Jumaat apabila 48 wakil rakyat mengundi tidak menyokong berbanding 10 ADUN yang menyokong.
Umno, yang memiliki 25 daripada 59 kerusi di Dewan Negeri Perak, akan mencalonkan ketuanya di Perak, Saarani Mohamad, sebagai menteri besar baharu.
PAS, yang menyokong Faizal semasa undian percaya, baru-baru ini mengumumkan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.
Berbanding UMNO, PPBM memiliki lima kerusi manakala PAS tiga. Pembangkang Pakatan Harapan memegang 24 kerusi.