
Pegawai komunikasi kumpulan itu, Aleza Othman berkata, ekonomi yang lemah memaksa banyak keluarga ke kancah kemiskinan, menyebabkan sesetengah mereka mengahwinkan anak perempuan masing-masing bagi membantu mengurangkan beban kewangan.
“Mengahwinkan anak perempuan dengan seseorang yang mempunyai sumber kewangan untuk menyediakan perlindungan perubatan, terutamanya insurans kesihatan, boleh dilihat sebagai satu cara untuk menjaga kesejahteraan seorang perempuan muda semasa berlakunya krisis kesihatan.
“Ini tidak tepat kerana gadis yang berkahwin muda berrisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan akibat kehamilan awal, kurangnya akses kepada penjagaan kesihatan dan pendedahan kepada penyakit berjangkit seksual,” katanya.

Memetik laporan pertubuhan komuniti Sabah, Aleza berkata, negeri itu mencatatkan 955 perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah 18 tahun, dengan 505 daripadanya beragama Islam, antara 2011 dan 2016.
Sebanyak 5,215 perkahwinan kanak-kanak bukan Islam juga berlaku dari 2005 hingga 2015.
Beliau berkata, maklumat lain mengenai perkahwinan berdasarkan usia di Malaysia tidak tersedia.
Kempen tahunan antarabangsa menolak keganasan berdasarkan jantina menggesa tindakan udiambil bagi melindungi perempuan muda daripada perkahwinan kanak-kanak.
Setakat ini, hanya Selangor mengambil langkah menaikkan usia minimum perkahwinan bagi orang Islam kepada 18 tahun, sementara Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak bersetuju untuk meminda undang-undang keluarga Islam mereka.
Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah, Winnie Yee berkata, pendidikan sangat penting untuk mengubah pemikiran mereka yang tinggal di luar bandar, terutama di Sabah, di mana perkahwinan pada usia 14 tahun biasa berlaku.
“Mereka tidak melihatnya sebagai satu masalah kerana ia sangat normal. Banyak generasi mengamalkan perkara sama.
“Bagi mereka, itulah cara yang ada,” kata Yee, dengan menambah bahawa saluran pendidikan formal masih kurang di daerah terbabit.
“Ramai antara mereka tidak mempunyai akses kepada tadika atau sekolah permainan. Apabila masuk darjah satu, mereka tidak tahu bagaimana memegang pensil, apatah lagi mengira.
“Anak-anak ini ketinggalan dan bergelut di sekolah. Ini menyebabkan ramai yang berhenti sekolah, dan selepas itu mereka dipaksa berkahwin sebaik sahaja mereka mencapai usia baligh.”
Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Akhir memberitahu FMT, terdapat keperluan mendesak untuk mereformasi undang-undang perkahwinan kanak-kanak kerana Malaysia telah mengesahkan Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak dan perjanjian antarabangsa lain.
Bagaimanapun, mahkamah syariah, menteri besar dan ketua menteri masih mempunyai autonomi untuk meluluskan perkahwinan bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun.
Melissa berkata penting bagi pihak berkuasa bertanggungjawab diberikan laporan perubatan, penilaian psikologi kanak-kanak dan pendapat kumpulan sosial sebelum membuat keputusan.
“Hakim mahkamah syariah, menteri besar atau ketua menteri mesti,\ sekurang-kurangnya, mengadakan sesi bersemuka dengan kanak-kanak terbabit.
“Sekiranya terdapat sedikit petanda penderaan seksual dan keengganan di pihak kanak-kanak itu, mereka perlu menolak permohonan, malah sebaliknya memerintahkan siasatan polis dijalankan,” katanya.
Melissa berkata, kejahilan berhubung pendidikan seksual kanak-kanak dan objektifisasi kanak-kanak, terutama kanak-kanak perempuan, adalah antara halangan reformasi undang-undang negara.
Milo, 15, yang merupakan sebahagian daripada WAO Girls Takeover Network berkata, kesedaran adalah langkah paling penting dalam menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.
Beliau berkata, perempuan muda seperti dirinya perlu bersuara menentang perkara itu, dengan menambah bahawa beliau berdepan kesukaran bercakap mengenai hak-hak perempuan terhadap rakan sebayanya kerana mereka tidak menganggapnya serius.
“Perempuan mesti jadi perempuan,” katanya. “Kita tidak boleh terperangkap di rumah menunggu suami kita. Saya sendiri tidak dapat membayangkan berkahwin dengan seseorang yang sebaya dengan saya. ”
Girls Takeover Network adalah saluran sembang di mana perempuan muda boleh mengambil bahagian untuk bercakap antara satu sama lain mengenai masalah yang mereka hadapi. Sesiapa berumur 12 hingga 18 tahun bebas mendaftar dan mengambil bahagian dalam perbincangan.