
Menyifatkan kenyataan Nik Zawawi sebagai satu lagi “ledakan emosi” di Parlimen, setiausaha antarabangsa DAP itu memberi amaran, kenyataan itu boleh membawa kerosakan tidak dapat dibaiki terhadap hubungan Malaysia-AS dan ekonomi tempatan.
Beliau berkata, kementerian itu perlu “menolak pandangan dasar luarnya (Nik Zawawi) yang menyimpang terhadap rakan dagang kedua terbesar kita”.
“Dengan melabelkan AS sebagai negara pengganas, adakah Pasir Puteh mencadangkan untuk memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara? Adakah beliau memahami kesannya tidak hanya kepada ekonomi kita, tetapi juga ribuan rakyat Malaysia yang tinggal atau mempunyai ahli keluarga di AS?
“Pasir Puteh perlu sedar kata-katanya sebagai Ahli Parlimen dan sebagai ketua Dewan Ulama PAS boleh memberi kesan buruk kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam Dewan Rakyat semalam, Nik Zawawi menggelar AS sebagai “pengganas” dan menggesa kerajaan bersikap lebih tegas terhadap negara itu.
“Sebenarnya mereka adalah pengganas. Kadangkala negara-kuasa besar ini seperti Amerika Syarikat seolah-olah menjadi raja dalam dunia, apa yang mereka nak buat, mereka akan buat. Dia nak serang Sudan, Libya dan mana-mana negara lain dia boleh buat.”
Beliau menyeru kerajaan bersikap tegas terhadap AS kerana Washington akan “membuat ancaman terhadap negara-negara yang tidak bersekutu dengan mereka”.