Dituduh ejen provokasi, Teo nafi dakwaan bekas ketua pasukan petugas UEC

Dituduh ejen provokasi, Teo nafi dakwaan bekas ketua pasukan petugas UEC

Eddin Khoo label pemimpin DAP itu sebagai 'eksploitatif, manipulatif' yang didakwa tidak mahu penyelesaian sebenar isu pengiktirafan UEC.

Naib Pengerusi DAP Teo Nie Ching menolak dakwaan bekas pengerusi pasukan petugas UEC, Eddin Khoo, kononnya beliau ‘bercakap nada berbeza kepada komuniti berlainan’ mengenai isu pengiktirafan UEC.
PETALING JAYA:
Teo Nie Ching daripada DAP nafi dakwaan bertindak sebagai ejen provokasi berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika memegang jawatan timbalan menteri pendidikan, pada 2018 hingga 2020.

Menepis tuduhan dilemparkan bekas ketua pasukan petugas yang ditubuhkan untuk mengumpul pandangan mengenai pengiktirafan UEC, Teo menegaskan, beliau sentiasa konsisten dalam isu itu tanpa mengira audien yang didepani.

Naib pengerusi DAP itu mengulangi keyakinannya UEC adalah ‘baik untuk Malaysia’ dan tidak akan menjejaskan identiti nasional, malah akan memperkukuh ekosistem pendidikan serta menyokong pembangunan bakat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai, berkata kegagalan mencapai pengiktirafan UEC di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020, merupakan antara kekesalan terbesarnya sepanjang memegang jawatan timbalan menteri pendidikan ketika itu.

“Terdapat kekangan di luar kawalan saya, tetapi saya tidak pernah mengelak mengakui kekurangan berlaku. Malah, semasa satu syarahan dalam talian pada 2020, saya telah memohon maaf kepada penyokong berhubung kenyataan mengenai ‘mengiktiraf UEC dalam tempoh satu tahun’. Perlu ditegaskan di sini bahawa saya tidak pernah mengelak atau menafikan kelemahan ini.

“Apa yang saya tolak adalah dakwaan saya ‘bercakap nada berbeza kepada komuniti berlainan’ atau saya menjadi ejen provokasi dalam isu UEC.

“Saya tidak pernah menyembunyikan sokongan saya terhadap pengiktirafan UEC, dan saya juga tidak pernah mengubah prinsip saya mengikut keadaan. Oleh itu, apa jua cadangan yang mengatakan saya tidak berminat mencari penyelesaian untuk UEC adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Teo, yang kini timbalan menteri komunikasi, berkata beliau tetap dengan pendiriannya dan tidak akan memohon maaf atas usahanya mendesak pengiktirafan UEC.

Eddin Khoo, mengetuai pasukan petugas UEC yang ditubuhkan kerajaan PH, mendakwa dalam satu audio siar bahawa isu pengiktirafan UEC terus dipolitikkan ‘disebabkan oleh orang seperti Teo’.

Khoo menzahirkan kekecewaan terbesarnya semasa menerajui pasukan petugas berkenaan adalah ahli politik bertindak sebagai provokatif, dan menamakan Teo antaranya.

Beliau mendakwa, Teo akan ‘menyemarak api’ dengan membuat kenyataan tertentu kepada media Cina dan kenyataan yang berbeza kepada media Melayu, serta melabelkan beliau sebagai ‘eksploitatif, manipulatif’, dan tidak mahu penyelesaian sebenar terhadap isu tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.