
Kekecohan berlaku apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dimaklumkan Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang beliau tersilap memasukkan seorang Ahli Parlimen Umno dalam senarai menyokong peruntukan kementerian itu di peringkat jawatankuasa.
Rashid berkata, Shabudin sudah memaklumkan speaker yang beliau tersilap memasukkan Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) yang tiada dalam dewan ketika undian itu diadakan, ke dalam senarai itu.
“Ini menjadikan 106 ahli Parlimen setuju, 95 tidak setuju dan 19 (bukannya 18 orang) tidak hadir dalam undian belah bahagi semalam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang berkata, ini tidak patut berlaku kerana kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai majoriti 2 Ahli Parlimen dan menuntut undian diadakan semula.
Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berkata, kesilapan sedemikian tidak patut berlaku disebabkan majoriti tipis kerajaan.
RSN Rayer (PH-Jelutong) mempertikaikan kredibiliti proses undian kerana “Padang Rengas (Nazri) dimasukkan dalam senarai itu” walaupun beliau tiada berada dalam dewan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengharapkan sistem semak imbang lebih baik bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
Sementara itu, Shabudin yang diminta memberi penjelasan berkata, beliau tidak berniat menipu Dewan Rakyat dan sudah memohon maaf kepada speaker.
Rashid pula berkata, Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati boleh menghantar surat bertulis kepada speaker.
Ia disusuli Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang bangkit menuntut speaker meletak jawatan atas insiden “memalukan” itu.
Rashid bagaimanapun meminta Hanipa menarik balik kenyataan itu dan beliau berbuat demikian kemudian.