
Menteri Besar Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri pada tahun hadapan sebanyak RM1.609 bilion, manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.857 bilion.
“Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan berfokus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran” pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14.
Kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan sebanyak RM850 juta untuk pembangunan, menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 agenda utama.
Perbelanjaan mengurus pula berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta bagi emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain-lain.
“Terdapat dua strategi kewangan bagi Belanjawan Johor 2021, iaitu dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada pada kerajaan negeri, termasuk menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“PBT akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan menangani Covid-19.
“Kerajaan Negeri menerusi GLC juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di negeri Johor,” katanya.
Menurutnya, strategi kedua adalah berpandukan konsep “counter-cyclical measures”.
“Kerajaan negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang, sehingga ekonomi negeri kembali mengembang,” katanya.
Tahun lalu, Belanjawan Johor 2020 yang dibentangkan menyaksikan lebihan (surplus) sebanyak RM2.36 juta untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Sementara itu, Johor juga mengumumkan peruntukan kepada ADUN pembangkang dinaikkan tiga kali ganda, daripada RM50,000 menjadi RM150,000.
Menteri besar turut mengumumkan elaun bagi ketua pembangkang dinaikkan daripada RM3,000 menjadi RM5,000, dan disediakan seorang pembantu tadbir.
Kenaikan ini bagi membantu mereka dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing