Wan Rosdy, Zambry bersaing naib presiden Umno

Wan Rosdy, Zambry bersaing naib presiden Umno

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu.

Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Zambry Abdul Kadir akan berentap untuk jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti kali ini.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Zambry Abdul Kadir mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden.

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad pula akan mempertahankan jawatan itu.

Mereka mengesahkan penyerahan borang pencalonan di ibu pejabat Umno pada Jumaat menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Bernama melaporkan bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad mengesahkan sudah menghantar borang pencalonan untuk jawatan naib presiden Umno.

Ahli MKT Umno, Johari Ghani turut menghantar borang pencalonan untuk jawatan nombor tiga itu pada Jumaat.

Jawatan naib presiden Umno disandang bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri pembangunan luar bandar, Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin.

Khaled dan Mahdzir mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu, manakala Ismail belum menyatakan pendiriannya.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong akan bertembung bekas ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil yang menyerahkan borang pencalonannya untuk kembali menerajui sayap itu pada 17 Feb lepas.

Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan 11 Mac ini, manakala Umno bahagian serta MKT pada 18 Mac nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.