
Setiausaha agung Umno itu, memetik Utusan Malaysia, berkata hanya mempertahankan jawatan Majlis Kerja Tertinggi Umno dan bertanding bagi merebut jawatan ketua Umno Pontian.
“Ya, saya mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian dan borang pencalonan akan dihantar petang esok (petang ini) di Pejabat Umno Bahagian Pontian,” katanya yang juga timbalan menteri kewangan I.
Jawatan ketua Umno Pontian disandang Hasni sejak 2001, manakala Ahmad merupakan timbalannya, sejak 2008.
Dalam pada itu, beliau enggan berentap bagi jawatan naib presiden memandangkan tiga calon Johor sudah mengesahkan bertanding, melibatkan penyandang, Khaled Nordin, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam serta calon tunggal wanita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
“Kalau saya masuk akan menjadi empat orang, dari segi layak, saya memang layak, kerana telah lama dalam Umno, pernah menjadi ketua penerangan Umno dan sekarang setiausaha agung Umno.
“Saya perlu melihat realiti, jika terlalu ramai dari satu negeri, peluang untuk menang adalah tipis dan ia akan memecah undi. Pihak di luar sana pun akan melihat mengapa ramai sangat calon dari Johor,” katanya.