
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, penganugerahan itu sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa (24 Nov).
“Saya bagi pihak kerajaan menjunjung kasih ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk menganugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada kedua-dua anggota terlibat,” katanya pada waktu pertanyaan menteri.
Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri juga memperakukan supaya Baharuddin dinaikkan pangkat kepada sarjan secara “posthumous” dan Norihan juga dinaikkan pangkat kepada sarjan secara medan.
Katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan berani dalam mempertahankan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.
Mengenai insiden berkenaan, Hamzah berkata, sehingga kini, polis menahan 19 suspek membabitkan 15 warganegara dan 4 rakyat Thailand.
Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand pula menahan 4 suspek warganegara Thailand, termasuk 3 yang cuba mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan terkena tembakan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” katanya.
Hamzah berkata demikian semasa menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai perincian insiden serangan terhadap dua anggota PGA itu dan langkah terkini kerajaan dalam memperketatkan lagi kawalan sempadan antarabangsa agar sindiket penyeludupan lumpuh sepenuhnya.
Pada Selasa, Baharuddin maut manakala Norihan cedera parah ditembak selepas diserang kumpulan penyeludup ketika menjalankan risikan di kawasan Pintu A3, Pos Tembok Sempadan 9 (TS9), Padang Besar.