Hubungan pertahanan dengan China terjejas bawah PH, kata pakar

Hubungan pertahanan dengan China terjejas bawah PH, kata pakar

Walaupun kerajaan PH tidak anti-China, tetapi lambat untuk menjalin hubungan dengan mereka.

Pakar berkata kerjasama berterusan dengan Beijing diperlukan untuk memastikan kestabilan di Laut China Selatan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang pakar dalam hubungan Malaysia-China berkata, hubungan pertahanan antara dua negara itu terjejas bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), seterusnya oleh ketidakstabilan politik menyebabkan PH digulingkan dan penularan wabak Covid-19 yang berlarutan.

Secara keseluruhannya, faktor berkenaan menyebabkan kemajuan hubungan pertahanan dua hala dengan China menjadi perlahan berbanding yang terjalin bawah Barisan Nasional (BN).

Dalam acara dianjurkan Institut ISEAS-Yusof Ishak, pakar yang tidak boleh dinamakan bawah Peraturan Rumah Chatham itu berkata, walaupun kerajaan PH tidak anti-China, tetapi lambat untuk menjalin hubungan dengan mereka.

Pakar itu berkata, PH lebih skeptikal terhadap hubungan dengan China berbanding kerajaan sebelumnya kerana mahu mengkaji dan mengutamakan perjanjian serta projek dibuat BN, yang akhirnya menangguhkan sebarang dialog antara dua negara berkenaan.

Tindakan itu dikatakan membimbangkan China kerana ia tertanya-tanya sama ada ia akan menyebabkan perjanjian disepakati sebelum ini tidak dipatuhi.

Bagaimanapun, pakar itu berkata terdapat peningkatan hubungan pada 2019 dan kesediaan untuk melaksanakan apa yang dimeterai terdahulu dalam sektor pertahanan “tetapi hayat kerajaan PH terlalu pendek”.

“Apabila mereka bersedia melangkah ke depan, muncul pula gangguan lain iaitu perubahan kerajaan sekali lagi.”

Pakar itu berkata, penularan Covid-19 turut menjadi penghalang kepada kerajaan baharu kerana fokus Perikatan Nasional (PN) tertumpu kepada urusan domestik seperti kesihatan, kebajikan sosial dan ekonomi dan beralih daripada hubungan pertahanan dua hala.

Beliau turut berkata, terdapat keperluan untuk mengimbangi hubungan pertahanan jangka panjang antara Amerika Syarikat dengan “hubungan baharu kita dengan China” supaya ia tidak dilihat berat sebelah.

“Perlu untuk menyampaikan kepada China yang kita tidak berat sebelah dan kita sentiasa menjelaskan kepada mereka yang hubungan kita dengan AS terjalin pada tempoh yang lama dan secara semula jadi ia akan lebih mantap dan produktif tetapi ia tidak bermakna menolak untuk berinteraksi dengan China.”

China adalah rakan strategik utama dalam membantu melindungi pesisir Malaysia daripada kegiatan lanun dan penyeludupan, katanya, dan kerjasama berterusan diperlukan untuk memastikan kestabilan di Laut China Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.