Anggota PGA maut, rakan parah ditembak penyeludup di sempadan

Anggota PGA maut, rakan parah ditembak penyeludup di sempadan

Anggota terkorban ialah Baharuddin Ramli dan rakan setugasnya, Norihan a/l Tari sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.

Siasatan awal mendapati 2 anggota PGA itu melakukan tugasan risikan di Padang Besar sebelum diserang 2 kumpulan penyeludup.
KUALA LUMPUR:
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dan seorang lagi parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, anggota terkorban ialah Baharuddin Ramli, manakala rakan setugasnya, Norihan a/l Tari sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.

“Kerajaan memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharuddin Ramli.

Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu bermula apabila 2 anggota PGA terbabit sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian sebelum diserang 2 kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan asing yang sedang menjalankan aktiviti penyeludupan di sempadan.

Beliau mengarahkan polis melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti penjenayah bertanggungjawab menyerang 2 anggota PGA itu.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tembak anggota PGA berkenaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.