Anggota APEC harus bersatu lawan Covid-19

Anggota APEC harus bersatu lawan Covid-19

Krisis kesihatan mencetuskan kesan berpanjangan terhadap cara memacu usaha perdagangan dan memberi keutamaan ekonomi dalam kalangan negara anggota APEC.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sebagai gabungan yang ekonominya menyumbang sekitar 60% daripada KDNK global, APEC memainkan peranan penting dalam meneraju pemulihan ekonomi pasca pandemik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia menegaskan semua negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) harus bersatu melawan pandemik Covid-19, selain memastikan semua penduduk dunia mempunyai akses kepada vaksin dan teknologi kesihatan pada kadar berpatutan dan saksama.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, krisis kesihatan mencetuskan kesan berpanjangan terhadap cara memacu usaha perdagangan dan memberi keutamaan ekonomi dalam kalangan negara anggota APEC.

“Hari ini, dalam kita merencana kerjasama untuk menangani impak Covid-19, kewujudan APEC menjadi semakin relevan. Ketika merintis usaha penyelesaian bagi mengimbangi kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat, kita diingatkan untuk mengetepikan perbezaan.

“Sebaliknya, cari titik persamaan antara kita kerana faktor sedemikian bakal menjadi rencah utama yang mampu menyelamatkan manusia ketika dilanda malapetaka,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020 yang berlangsung secara maya di Kuala Lumpur, malam ini.

APEC 2020 tahun ini bertemakan “Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran”.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sebagai gabungan yang ekonominya menyumbang sekitar 60% daripada KDNK global, APEC memainkan peranan penting dalam meneraju pemulihan ekonomi pasca pandemik.

“Kita perlu berdagang dan melabur, di luar kemelesetan ekonomi semasa. Kita mesti bersatu dan bekerjasama memacu wilayah ini ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan kukuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.