
Ini kerana hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin pada 2 Okt lepas membenarkan permohonan anak lelaki Samy Vellu iaitu S.Vell Paari agar perkara itu dirahsiakan.
Peguam David Mathews, yang mewakili Vell Paari, ketika dihubungi berkata terdapat perintah bagi melindungi atau menutup perkara berkaitan inkuiri itu.
“Mahkamah telah membuat perintah bagi menjaga kerahsiaan. Tarikh dan dokumen mahkamah berkaitan inkuiri itu tidak boleh didedahkan. Itu sahaja yang dapat saya katakan,” katanya sambil menambah bahawa permohonan bagi perintah itu dibuat pada 27 Sept lepas.
Pada 11 Sept lepas, Wong membenarkan permohonan Vell Paari agar bapanya menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam saman yang difailkan terhadap Samy Vellu bagi mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa bapanya tidak mampu mengurus hal ehwal dirinya.
Vell Paari, 58, memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis tahun lepas untuk memohon perintah mahkamah supaya satu siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental bapanya dan sama ada bekas menteri kerja raya itu mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya.
Beliau memohon perintah bahawa satu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk membolehkan siasatan dijalankan terhadap bapanya mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 bagi mengetahui tempoh bapanya menderita gangguan mental.
Vell Paari memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berkeupayaan memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) serta untuk menentukan jenis-jenis harta yang dimiliki bapanya.
Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya perunding pakar psikiatri neuro dan ketua perkhidmatan perubatan tingkah laku neuro dari Penang Adventist Hospital Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental Samy Vellu.
Jika Samy Vellu didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya, Vell Paari memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya dan peguam C. Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga serta menguruskan hal ehwal harta defendan.
Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa berkenaan, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta pembayaran gaji bagi ahli jawatankuasa itu.
Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.
Plaintif berkata sejak 2017, beliau membantu Samy Vellu menguruskan hal ehwal diri dan estet bapanya serta menggunakan dana sendiri bagi tujuan itu kerana defendan tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.
Pada 11 Sept lepas, Wong menolak permohonan Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, yang mendakwa isteri Samy Vellu untuk menjadi pencelah dalam saman Vell Paari.
Rosaline turut gagal dalam percubaan ke-2nya untuk menjadi pencelah dalam saman itu selepas mahkamah sama menolak permohonannya pada 8 Okt lepas.