Azhar Harun bidas ahli Parlimen kerana pertikai keputusan hadkan 80 wakil rakyat di Dewan Rakyat

Azhar Harun bidas ahli Parlimen kerana pertikai keputusan hadkan 80 wakil rakyat di Dewan Rakyat

YdP Dewan Rakyat menegaskan keputusan itu tidak melanggar mana-mana peruntukan perlembagaan negara.

Azhar berkata tidak timbul soal perlembagaan dicabuli apabila beliau mengehadkan 80 ahli Parlimen hadiri sesi Dewan Rakyat demi membendung risiko jangkitan Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini menyelar pembangkang kerana mempertikaikan keputusan beliau untuk hanya membenarkan 80 ahli Parlimen menghadiri sidang dewan pada satu-satu masa.

Azhar menegaskan keputusan beliau itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, memandangkan kuorum untuk membolehkan persidangan Dewan Rakyat berlangsung ialah 26 ahli Parlimen.

“Di manakah terdapatnya dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa pada setiap masa saya perlu mendengar 222 orang ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat. Kuorumnya adalah hanya 26 orang dan kita ada 80 orang. Bukannya saya hendak kekang ahli Parlimen daripada i berdebat.

“Kalau kita tengok pada hari persidangan, bukannya 222 ahli Parlimen berada di dalam Dewan Rakyat. Yang datang sehari hanyalah dalam 100 hingga 120 ahli Parlimen. Yang datang ini juga bukannya berada di dalam (dewan) dari 10 pagi hingga jam 5 petang,” katanya di Dewan Rakyat.

Azhar berkata demikian ketika menolak desakan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR) Hassan Abdul Karim supaya keputusan mengehadkan 80 ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat dikaji semula.

“Jadi, apabila kita buat konsensus (mengehadkan kepada) 80 orang ini, perkara ini jadi perkara besar. Kenapa? Benda ini sudah diputuskan secara konsensus. Marilah kita bersama-sama membalas budi dan jasa baik petugas barisan hadapan kita, (Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan) Noor Hisham Abdullah sudah bertungkus lumus selama 7 bulan (untuk membendung Covid-19).

“Kita patutlah beri keyakinan kepada beliau dan petugas barisan hadapan. Kita juga beri kerjasama sepatutnya,” kata Azhar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.