Jangan tolak pandangan Bersih beri gred ‘D’, kata pemimpin PH

Jangan tolak pandangan Bersih beri gred ‘D’, kata pemimpin PH

Mereka berkata ia wajar diambil kira selain menyegerakan reformasi seperti dijanjikan.

Mohd Hasbie Muda (kiri) berpendapat pandangan yang baik wajar diambil manakala Hassan Abdul Karim pula berkata beliau yakin pencapaian kerajaan perpaduan boleh meningkat lebih baik lagi.
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berpendapat bahawa penilaian gred ‘D’ yang diberikan oleh Bersih terhadap prestasi kerajaan perpaduan wajar diambil kira termasuk bertindak melakukan reformasi seperti dijanjikan dengan segera.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, berkata biarpun kerajaan mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan penilaian terbabit namun dirinya percaya pentadbiran Anwar Ibrahim terbuka terhadap kritikan membina.

“Kajian Bersih tidak boleh ditolak. Pandangan yang baik wajar diambil dan reformasi memang perlu disegerakan.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menegaskan bahawa kerajaan komited terhadap agenda reformasi tetapi akan laksanakan secara berperingkat dan beransur-ansur.

“Cuma saya setuju, prosesnya memang perlu dipercepatkan dan garis masa pelaksanaannya perlu dijelaskan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen veteran PKR, Hassan Abdul Karim, pula berkata beliau tetap melihat ada peningkatan prestasi daripada kerajaan perpaduan yang pernah diberikan gred ‘F’ beberapa bulan lepas oleh kumpulan pemerhati pilihan raya itu.

“Bagi saya ini perkembangan yang baik. Dari gred ‘F’ ke gred ‘D’, maknanya ia meningkat dua anak tangga. Jika kerajaan pimpinan Anwar fokus tentang memperbaiki ekonomi, ia mempunyai masa depan cerah dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam masa dua atau tiga tahun lagi tidak memeranjatkan jika pencapaian kerajaan Madani boleh mencapai A- atau A+.

“Jika Anwar Ibrahim memberi tumpuan untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat, merapatkan jurang kaya miskin melalui program ekonomi yang betul maka kerajaan perpaduan akan menerima sokongan meluas daripada rakyat,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Terdahulu Bersih menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya, selain meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik, sejak 2009.

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, serta jurang antara retorik dan tindakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.