
Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Chan Chun Kuang berkata, jaminan pekerjaan itu bertujuan memastikan penganggur mempunyai pendapatan minimum untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka, ketika negara masih berdepan penularan Covid-19.
“Kerajaan Perikatan Nasional perlu beri pertimbangan untuk pelaksanaan dasar jaminan pekerjaan kepada penganggur dengan menawarkan kerja sementara atau berdasarkan gaji masa untuk bekerja di sektor awam, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan badan bukan bersifat keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ini bukan kali pertama cadangan seperti ini disuarakan kerana Pemuda Umno pada Julai lalu menyarankan Putrajaya mewujudkan skim jaminan pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran kerana sebilangan perniagaan mula mengecilkan operasi dan membuang pekerja.
Chan memetik statistik Jabatan Perangkaan yang menganggarkan lebih 741,600 rakyat Malaysia menganggur dan kadar pengangguran meningkat kepada 4.7% Ogos lalu berbanding 3.3% pada tahun lalu.
Beliau bimbang lebih ramai individu dan keluarga mereka akan berdepan krisis kewangan, jika kadar itu terus meningkat.
Katanya, ada individu yang dilaporkan memilih untuk menamatkan nyawa sendiri akibat hadapi tekanan kuat dari aspek ekonomi dan sosial, selepas hilang pekerjaan.
“Kami juga menyaksikan banyak perniagaan yang terpaksa menamatkan perniagaan mereka kerana tiada keuntungan yang dicapai, di mana ia menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.”