
Baljit Sidhu berkata polis boleh mendekati seseorang saksi atau suspek dalam siasatan ke atas kejadian yang berlaku dahulu.
“Polis ada kawalan sepenuhnya ke atas siasatan mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Baljit mengulas pertanyaan Mujahid berhubung sebab siasatan dilakukan selepas beliau dikatakan membuat kenyataan itu beberapa bulan selepas tumbangnya pentadbiran Pakatan Harapan pada Mac.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata beliau disiasat mengikut Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Saya tidak tahu kenapa ia memakan masa sangat panjang. Kini baru dibuat siasatan,” katanya semalam di Bukit Aman selepas disoal selama lebih sejam.
Baljit berkata terdapat banyak sebab kenapa polis mengambil masa lama untuk mengambil keterangan Mujahid, tetapi pemimpin Amanah itu berhak mempunyai pandangan tersendiri.
“Bagaimanapun, polis bertindak dalam batasan undang-undang semasa menjalankan siasatan,” katanya.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan bahawa pemimpin itu akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) selepas laporan baharu diterima Bukit Aman berhubung “isu lama”.
Pada Mac, media melaporkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang terhadap Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan yang dikatakan mempertikai kuasa Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Sementara itu, peguam SN Nair berkata ia tiada batas tempoh dalam siasatan jenayah dan polis akan memahamkan sesuatu laporan sebelum mengambil keterangan daripada saksi atau suspek.
“Dalam kesalahan boleh tangkap, polis boleh tentukan kenyataan siapa yang akan diambil dahulu dan kemudian,” katanya, dan menambah kelakuan penyiasat dalam kes Mujahid bukanlah aneh.
Nair berkata ia terserah kepada polis untuk menyiasat sesuatu laporan manakala pendakwa raya pula tentukan apakah pendakwaan akan dibuat.