
Beliau berkata, jumlah bayaran tunai hasil petroleum yang disalurkan kepada Sarawak dan Sabah bagi tempoh 2008 hingga Ogos 2020 adalah masing-masing RM25.3 bilion dan RM13.2 bilion.
Bayaran khas petroleum kepada Terengganu dan Kelantan bagi tempoh yang sama masing-masing sebanyak RM22.4 bilion dan RM418.9 juta, katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jumlah bayaran royalti minyak dan gas yang diterima kerajaan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu mulai 2008 sehingga 2020.
Mustapa berkata, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membuat bayaran tunai hasil petroleum sebanyak 5% secara terus masing-masing kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
“Bagi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pula, Petronas menyalurkan bayaran kepada Kementerian Kewangan yang seterusnya membuat bayaran kepada kedua-dua negeri tersebut,” katanya.