Pesakit sukar dapat rawatan kesihatan mental semasa PKPB

Pesakit sukar dapat rawatan kesihatan mental semasa PKPB

Penyedia perhidmatan kesihatan mental berkata, pesakit lebih suka berunding secara bersemuka berbanding kaunseling dalam talian.

Dr Andrew Mohanraj berkata, masalah yang dihadapi pesakit termasuk kegelisahan dan kemurungan berkaitan isu kewangan, rumah tangga dan keluarga.
PETALING JAYA:
Perkhidmatan kesihatan mental seperti sesi kaunseling dan terapi untuk pesakit terjejas ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, menurut penyedia perkhidmatan kesihatan.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula 14 Okt lalu dilanjutkan 14 hari lagi hingga 9 Nov ini.

Dr Alvin Tan, pengarah People Psychological Solutions yang merupakan penyedia penjagaan kesihatan psikologi berkata, arahan notis pendek yang diberikan mengenai SOP untuk perniagaan serta kebimbangan atas lonjakan kes Covid-19, menyebabkan hanya sedikit pesakit mendapatkan rawatan.

“Walaupun pelanggan memerlukan perkhidmatan itu, kesukaran untuk hadir secara fizikal di premis adalah cabaran utama bagi mereka yang mahu mendapatkan bantuan psikologi.

Dr Alvin Tan.

“Sesi kita dikurangkan sehingga 70% sejak PKPB. Pasukan kita juga tidak pasti sama ada kita dapat menyediakan sesi akibat perubahan pengumuman mengenai SOP kerja, dan kita menangguhkan komunikasi dengan pelanggan mengenai status sesi mereka,” katanya kepada FMT.

Tan berkata, ramai pesakit menangguhkan rawatan mereka sehingga PKPB tamat atau selepas kes Covid-19 mula berkurangan.

“Walaupun alternatif kaunseling dalam talian atau telerundingan disediakan, kebanyakan pelanggan memilih pendekatan tunggu dan lihat.

“Ada yang berkata, kurang privasi di rumah atau kesukaran menceritakan masalah dan emosi mereka secara berkesan melalui panggilan video dalam talian sebagai alasan menolak kaunseling dalam talian.”

Namun, katanya, sekiranya PKPB menjadi norma, pesakit mungkin perlu menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental, Dr Andrew Mohanraj berkata, ramai pesakit tidak selesa dengan terapi dalam talian.

Dr Andrew Mohanraj.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 70 kes baru seminggu berbanding 50 kes sebelum PKPB, dan jumlah sebenar lebih banyak jika bukan kerana bakal pelanggan tidak selesa dengan terapi dalam talian dan mahukan terapi konvensional secara bersemuka.

Katanya, aduan utama pesakit yang datang ketika PKPB ialah kegelisahan dan kemurungan berkaitan isu kewangan, rumah tangga dan keluarga.

Tan berkata, walaupun masalah kesihatan mental membabitkan semua golongan pendapatan, tekanan persekitaran seperti kesukaran ekonomi dalam kalangan kumpulan berstatus sosioekonomi rendah akan memberi impak lebih buruk kepada kesihatan mental, yang akan menyebabkan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kumpulan pendapatan itu.

“Ini seiring dapatan daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015.”

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan mental tidak mudah didapati.

“Ini kerana perkhidmatan seperti itu lebih tertumpu di Lembah Klang. Jumlah profesional kesihatan mental di Malaysia, seperti pakar psikiatri dan psikologi klinikal, juga tidak memenuhi keperluan penduduk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.