Kabinet setuju tamat perjanjian pajakan tanah antara Felda, FGV

Kabinet setuju tamat perjanjian pajakan tanah antara Felda, FGV

Petugas khas diketuai Abdul Wahid Omar mengenal pasti beberapa masalah utama dihadapi Felda termasuk struktur modal tidak mampan dan bebanan hutang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah dihadapi oleh Felda.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dan FGV Holdings, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan pampasan perlu dibayar oleh Felda kepada FGV, yang memegang 33.66% saham, sebagai balasan kepada penamatan pajakan itu.

Satu petugas khas diketuai Abdul Wahid Omar mengenal pasti beberapa masalah utama dihadapi Felda termasuk struktur modal tidak mampan dan bebanan hutang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Mustapa berkata, keadaan itu juga berpunca daripada sumber pendapatan berkurangan terutama penerimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan bawah LLA.

“Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah dihadapi oleh Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan pasukan petugas khas bagi menangani isu Felda dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober. Pasukan itu juga adalah kesinambungan daripada Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Felda” yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

Mustapa berkata, Kabinet juga bersetuju dengan cadangan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda.

“Kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Pelaksanaan cadangan ini oleh Felda akan dipantau secara terperinci oleh 1 jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada perdana menteri,” katanya.

LLA bagi tempoh 99 tahun itu bermula 2012, ketika FGV disenarai di Bursa Malaysia, dengan rundingan pertama mengenai syarat perjanjian hanya sekitar 20 tahun terhadap perjanjian berkenaan, menurut prospektus penyenaraian FGV.

Dalam temu bual bersama Berita Harian awal bulan ini, Pengerusi Felda, Idris Jusoh berkata agensi berkenaan berhasrat untuk mengambil kembali 350,000 hektar tanah daripada FGV yang dipajak oleh Felda pada kadar RM800 juta setahun, walaupun pada hakikatnya Felda hanya mendapat RM250 juta secara purata.

Bagaimanapun, FGV pada 20 Oktober menolak kenyataan Idris itu dengan menyatakan LLA yang perlu dibayar kepada Felda adalah RM248 juta setahun ditambah dengan 15% operasi keuntungan daripada tanah yang disewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.