Polis buka kertas siasatan fitnah KP bomba, bekas KPN

Polis buka kertas siasatan fitnah KP bomba, bekas KPN

Siasatan dilakukan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid serta bekas ketua polis negara Musa Hassan membuat laporan polis berhubung tuduhan seorang lelaki terhadap mereka dalam sebuah video.
KUALA LUMPUR:
Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid serta bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan terlibat dalam jenayah tipu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia susulan laporan polis dibuat Musa di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya tengah hari semalam, serta Hamdan di IPD Putrajaya pada hari sama yang mendakwa mereka difitnah individu berkenaan.

“Siasatan dilakukan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali juga mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada Hamdan dan kes itu diserahkan kepada IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Tular dalam media sosial 2 video masing-masing berdurasi kira-kira 3 dan 4 minit memaparkan seorang lelaki mendakwa Musa dan Hamdan terlibat kes penipuan termasuk skim cepat kaya.

Dalam pada itu, Musa dalam kenyataan berkata beliau membuat laporan kerana tuduhan berkenaan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah beliau dan Hamdan.

“Saya juga telah sertakan beberapa bahan bukti yang membuktikan tuduhan jahat ke atas diri saya adalah tidak benar dan berniat jahat untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.