Kematian ke-2 daripada kapal karam di Miri

Kematian ke-2 daripada kapal karam di Miri

Jabatan Laut berkata, kematian itu membabitkan seorang warganegara dan identiti seorang lagi mangsa korban belum disahkan.

Kru kapal Dayang Topaz diberikan rawatan kecemasan sebaik tiba di Pelabuhan Miri, Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Laut melaporkan seorang lagi kru kapal Dayang Topaz yang karam di perairan Kuala Baram, Miri pagi tadi, meninggal dunia.

Katanya, 2 kematian itu membabitkan seorang warganegara Malaysia, manakala seorang lagi mangsa korban belum dikenal pasti.

Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) menerima panggilan dari sebuah kapal Sapura Construction kira-kira 6.45 pagi tadi, yang melaporkan ia menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram.

Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som dilaporkan berkata, kapal Sapura Construction kemudiannya mengesan lokasi sebenar kapal itu, dengan 62 kru masih berada di atas kapal dan 125 lagi terjun ke laut.

Jabatan Laut berkata, selain 2 kematian itu, baki 185 kru kapal milik Dayang Enterprise Holdings Berhad (DESB) Marine Services Sdn Bhd, berjaya diselamatkan.

Kru kapal Dayang Topaz yang terselamat dipindahkan ke Pelabuhan Miri pagi tadi. (Gambar Facebook)

Katanya, maklumat awal menunjukkan kabel sauh Dayang Topaz terputus akibat cuaca buruk dan kapal itu tidak dapat dikawal lalu melanggar platform pelantar minyak beram.

“Kesan kerosakan akibat pelanggaran ini belum dapat dipastikan lagi.

“Bagaimanapun, tiada sebarang pencemaran marin dikesan dan Dayang Topaz telah belayar menuju ke limbungan pembaikan kapal terdekat untuk pemeriksaan kerosakan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat diketuai APMM dan dibantu kapal lain di bawah penyeliaan SKO Petronas Carigali Sarawak Operations.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.