Terengganu akan laksana permit khas selam di tapak kapal karam

Terengganu akan laksana permit khas selam di tapak kapal karam

Exco negeri Razali Idris berkata mungkin tiada caj dikenakan kepada penyelam kerana permit khas itu bagi menghalang artifak diambil dari tapak kapal karam.

Exco Terengganu Razali Idris menyelam bersama beberapa penyelam di tapak kapal karam di perairan Pulau Kapas. (Gambar Tourism Terengganu)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan permit khas kepada penyelam bagi melakukan selaman di kawasan kapal karam di perairan Pulau Kapas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Razali Idris, berkata permit khas itu bagi memantau penyelam ke kawasan terbabit.

“Kita akan mengeluarkan permit khas seperti di Pulau Bidong kerana di perairan pulau berkenaan ada kapal karam bersama artifak berharga.

“Kerajaan akan memperkenalkan prosedur operasi standard mudah dan mungkin tiada caj dikenakan kepada penyelam kerana ia diperkenalkan hanya untuk menghalang penyelam mengambil artifak di kawasan itu,” katanya menurut Harian Metro selepas selaman ke tapak kapal karam di perairan Pulau Kapas, Marang.

Razali berkata kapal karam dipercayai milik tentera Jepun itu yang karam pada Perang Dunia Kedua kini di kedalaman 40m dasar laut.

Katanya ada penyelam mengambil kesempatan mengeluarkan artifak dari kapal karam itu sebelum menjualnya bersama sijil sebagai tanda keasliannya.

Pengarah Nanhai Marine Archaeology, Ben Rongen, berkata masing-masing sebuah kapal karam dikesan di perairan Pulau Bidong, Kapas dan Tenggol, yang semuanya bernilai tinggi serta perlu dijaga sebaik mungkin.

“Artifak yang diambil dari kapal karam itu ada yang dijadikan loket rantai dan permata cincin, selain mempunyai sijil sebelum dijual kepada umum,” katanya memaklumkan artifak itu dijual hingga ribuan ringgit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.